Selasa, 3 November 2009

Semua penjara disedia kemudahan pejabat pos

BERITA HARIAN ONLINE


KAJANG: Jabatan Penjara Malaysia (JPM), semalam menandatangani perjanjian persefahaman (MOU) dengan Pos Malaysia Berhad bagi menyediakan kemudahan perkhidmatan penghantaran surat-menyurat kepada kakitangannya.

Acara menandatangani perjanjian itu masing-masing diwakili Ketua Pengarah Penjara, Datuk Wira Zulkifli Omar dan Pengarah Urusan Kumpulan Pos Malaysia, Datuk Syed Faisal Albar.

Zulkifli berkata, menerusi perjanjian yang dilakukan itu, setiap penjara akan dibekalkan dengan kemudahan pejabat pos.

“Setakat ini, hanya penjara Kajang yang mempunyai pejabat pos dan kemudahan itu akan diberikan secara berperingkat. Keutamaan diberi kepada penjara yang mempunyai kakitangan yang ramai,” katanya selepas sambutan Hari Jabatan Penjara Malaysia 2009 di Maktab Penjara Malaysia, Kajang, yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop.

Sementara itu, Abu Seman berkata, hasil produk kraftangan yang dihasilkan banduan mendapat sambutan menggalakkan, dengan mencatat jualan sebanyak RM6 juta dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini berbanding RM5.5 juta sepanjang tahun lalu.

Katanya, kementerian itu berusaha dari semasa ke semasa untuk mempertingkatkan lagi hasil jualan selain memberi kemahiran kepada banduan

Tiada ulasan: