Selasa, 3 November 2009

Pemilihan jawatan Papa tidak sah

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Semua jawatan dalam Persatuan Pembantu Rumah Asing Malaysia (Papa) yang dipilih dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pada 10 Oktober lalu tidak sah berikutan berlaku kesilapan teknikal ketika proses pemilihan itu, kata bekas Presidennya, Datuk Raja Zulkepley Dahalan.

Katanya, masalah itu berlaku apabila syarikat salah seorang Ahli Jawatan Kuasa (AJK) yang dipilih pada AGM berkenaan tidak berdaftar dengan Jabatan Imigresen Malaysia.

“Satu siasatan dalaman sedang dilakukan oleh kita dan setakat ini kita sudah kenal pasti individu dan syarikat berkenaan. Saya akan menasihatkan dulu ahli itu dan jika beliau enggan bekerjasama, saya akan membuat laporan rasmi mengenainya kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS).

“Selain itu juga, semua aktiviti membabitkan Papa terpaksa digantung dan dihentikan buat seketika sehingga kita mendapat arahan untuk mengadakan pemilihan dan AGM baru daripada ROS. Saya harap krisis ini tidak berpanjangan sehingga boleh menjejaskan perancangan yang dibuat sebelum ini, terutama membabitkan isu penghantaran pembantu rumah dari Indonesia ke Malaysia,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Tiada ulasan: