Isnin, 16 November 2009

MCA kaji pemilihan parti secara terus

BERNAMA


MCA hari ini berjanji untuk mempercepatkan Pelan Perpaduan Lebih Menyeluruh dan menubuhkan sebuah pasukan petugas khas untuk mengkaji mekanisme terbaik untuk mengadakan pemilihan secara terus pucuk pimpinan parti tersebut.

Keputusan tersebut dibuat dalam majlis dialog dengan akar umbi parti itu di Kuala Lumpur pagi ini.

Timbalan Presiden Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata perjumpaan itu dihadiri 620 anggota yang mewakili 155 bahagian atau 70 peratus daripada keseluruhan 191 bahagian MCA di seluruh negara.

"Ini menunjukkan mereka prihatin tentang perpaduan parti dan tahap sokongan mereka bolehlah dianggap tinggi," katanya kepada pemberita.

Presiden parti Datuk Seri Ong Tee Keat, yang menyertai perjumpaan itu sejam sebelum ia berakhir, disambut dengan tepukan bergemuruh oleh hadirin.

Dr Chua berkata majoriti hadirin membayangkan mereka tidak akan menghadiri mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada 28 Nov ini yang dipanggil puak yang menyokong Naib Presiden Datuk Seri Liow Tiong Lai bagi mengadakan semula pemilihan parti.

Liow dan penyokong utama beliau Ketua Wanita Datin Paduka Chew Mei Fun, Ketua Pemuda Datuk Wee Ka Siong serta anggota jawatankuasa pusat (CC) Wee Jeck Seng dan Wong Nai Chee, tidak hadir.

Dr Chua berkata cadangan agar pemilihan parti diadakan secara terus, disambut baik oleh anggota peringkat akar umbi yang ingin melihat penyertaan lebih aktif dan meluas oleh anggota parti itu dalam memilih barisan kepimpinan di peringkat pusat.

"Peringkat akar umbi mahu mekanisme baru diwujudkan bagi memilih kepimpinan parti di peringkat pusat. Inilah hasrat mereka dan kami akan berusaha memenuhinya.

"Kami mungkin kaji mekanisme pemilihan yang melibatkan anggota parti atau mengikut cara yang diguna pakai oleh Umno," katanya.

Butiran lanjut tentang pasukan petugas itu akan dibincang oleh CC Rabu ini dan pasukan berkenaan akan diberi tempoh untuk mencapai hasilnya," kata beliau.

Dr Chua berkata pertemuan itu juga membincangkan tentang cadangan untuk mengadakan EGM pada 28 November ini.

"Kesimpulannya, resolusi yang bakal dicapai pada EGM ini adalah tidak sah di sisi perlembagaan parti. Pada perbincangan hari ini, bolehlah dikatakan bahawa kebanyakan pemimpin bahagian sepakat tidak akan menghadirinya," kata beliau.

Perjumpaan itu juga memutuskan bahawa semua bahagian akan menerima geran daripada ibu pejabat parti bagi melaksanakan kegiatan kemasyarakatan, yang jumlahnya bergantung pada saiz sesuatu bahagian dan sama ada anggotanya terpilih sebagai calon pada pilihan raya umum.

Antara pemimpin MCA yang menghadiri majlis itu ialah Naib Presiden Datuk Seri Dr Ng Yen Yen dan anggota CC Datuk Seri Tan Chai Ho, Datuk Donald Lim dan Chua Tee Yong serta Ketua Biro Maklumat dan Komunikasi Senator Heng Seai Kei.

Setiausaha Agung Datuk Wong Foon Meng, Naib Presiden Datuk Seri Kong Cho Ha dan Bendahari Agung Tan Sri Tee Hock Seng tidak hadir kerana berada di luar negara.

Tiada ulasan: