BERNAMA
KOTA BAHARU: Perbicaraan kes tuntutan terhadap Manohara Odelio Pinot supaya kembali taat kepada suaminya Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Sultan Ismail Petra di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Ahad diberitahu wanita itu tidak pernah didera suaminya itu.
Saksi tunggal, Tengku Azwani Tengku Iskandar berkata adalah tidak benar dakwaan dalam laporan akhbar yang mengatakan Manohara didera suaminya.
"Tidak benar, sebab saya sentiasa bersama Manohara. Kalau ada mesti dia (Manohara) mengadu kepada saya," kata Tengku Azwani, 26, yang juga sepupu Tengku Muhammad Fakhry.
Beliau rapat dengan sepupunya dan Manohara serta beliau melihat hubungan kedua-dua pasangan itu adalah baik dan mesra, katanya sambil menjelaskan rumahnya terletak 10 minit perjalanan dari rumah sepupunya itu.
Tengku Azwani berkata demikian di hadapan Hakim Syarie Mohd Yusof Awang pada perbicaraan kes tuntutan terhadap Manohara kembali taat kepada suaminya, semasa menjawab soalan peguam syarie, Zainul Rijal Abu Bakar yang mewakili Tengku Muhammad Fakhry, sama ada benar dakwaan dalam laporan akhbar yang mengatakan Manohara didera oleh suaminya.
Bagaimanapun, Manohara yang telah kembali ke Indonesia tidak hadir di mahkamah hari ini dan begitu juga tiada peguam syarie yang mewakilinya.
Pada prosiding hari ini, mahkamah turut mendengar afidavit keterangan bertulis Tengku Muhammad Fakhry bagi perbicaraan tuntutan hutang berjumlah RM1,112,250 terhadap Manohara.
Hakim Syarie Mohd Yusof menetapkan 13 Disember bagi keputusan tuntutan kes taat kembali kepada suami dan tuntutan hutang itu.
Pada Jumaat lepas, Tengku Muhammad Fakhry, 31, menyerahkan afidavit keterangan di Mahkamah Tinggi Syariah di Kuala Lumpur bagi dua kes saman terhadap isterinya, Manohara yang mengandungi soalan dan jawapan bagi menggantikan soalan utama terhadap plaintif pada perbicaraan pada Ahad.
Pada 3 November, peguam syarie kepada Manohara iaitu Mohd Faiz Adnan dan Roshdan Sujak Rafie menarik diri daripada mewakilinya dalam kedua-dua kes tersebut.
Dua hari selepas penarikan diri peguam syarie terbabit, Manohara dan ibunya, Daisy Fajarina dikenakan penghakiman ingkar setelah gagal melantik peguam baru dalam kes saman fitnah RM105 juta yang dikemukakan oleh suaminya di Mahkamah Tinggi Sivil di sini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan