BERITA HARIAN ONLINE
SUNGAI PETANI: Seorang lelaki seberat 350 kilogram meninggal dunia di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini, petang kelmarin, selepas lebih seminggu menjalani rawatan diabetis dan jantung.
Lim Ngian Kwan, 43, yang dikatakan turut menghadapi jangkitan kuman pada hatinya, dilaporkan meninggal dunia, kira-kira jam 6 petang.
Mendiang dikatakan mengalami kegemukan secara mendadak sejak dua tahun lalu sehingga terpaksa berhenti kerja dari sebuah kilang di Kawasan Industri Bakar Arang.
Lebih 10 kakitangan HSAH dan pekerja sebuah syarikat pengurusan jenazah terpaksa mengikat kayu bagi mengangkat dan memasukkan mayat Lim ke dalam keranda beroda untuk dibawa pulang ke rumahnya di Taman Petani Jaya di sini.
Ahli keluarganya bagaimanapun enggan ditemubual oleh sekumpulan wartawan yang menunggu di Jabatan Forensik HSAH.
Pada 6 November lalu, Lim dibawa ke HSAH menggunakan kenderaan bomba yang dilengkapi sistem hidrolik kerana saiznya tidak muat untuk dimasukkan ke dalam ambulans.
Malah, lebih 15 anggota bomba serta kakitangan HSAH dan Jabatan Pertahanan Awam bertungkus lumus mengangkat Lim ke kenderaan bomba.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan