Isnin, 23 November 2009

Kenyataan Media Ketua Umum Keadilan

SIASAH DAILY


Parti Keadilan Rakyat telah membincangkan isu pinjaman yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Selangor untuk mengambil alih hutang Talam Corp Bhd kepada anak syarikat PKNS yang berjumlah RM 391 juta. Isu tersebut telah dibangkitkan oleh Setiausaha Agung Parti, Dato' Salehuddin Hashim melalui edaran e-mel.

Biro Politik KEADILAN sememangnya menghormati pandangan yang dibangkitkan oleh pimpinan yang menyentuh dasar mana-mana negeri, termasuklah negeri-negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat (PAKATAN). Ini membuktikan iltizam kami untuk terus berpegang serta melaksanakan prinsip-prinsip asas demokrasi dan tadbir urus yang baik.

E-mel Setiausaha Agung hanya untuk edaran dalaman sahaja dan ianya merupakan pandangan peribadi bertujuan mendapat penjelasan dari YAB Dato’ Menteri Besar Selangor berhubung isu tersebut. Perlu ditegaskan di sini Setiausaha Agung KEADILAN tidak menuduh wujudnya penyelewengan oleh YAB Menteri Besar dan Kerajaan Negeri Selangor.

Kami berpuas hati dengan penjelasan awal oleh YAB Menteri Besar berkenaan perkara dasar yang menyangkut transasksi tersebut. Tuntas dengan prinsip ketelusan dan pertanggungjawaban, malah Tan Sri Khalid Ibrahim memberi jaminan bahawa transaksi tersebut terbuka untuk penelitian awam.


ANWAR IBRAHIM
Ketua Umum
Parti Keadilan Rakyat

Tiada ulasan: