Isnin, 16 November 2009

Idea Zaid wajar diberi perhatian: Dr Agus

SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM – Cadangan melantik Musyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Pengerusi Pakatan Rakyat (PR) wajar diberikan perhatian, kata penganalisis politik, Profesor Madya Dr Mohd Agus Yusof, semalam.

Menurutnya, biarpun cadangan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim berbentuk peribadi, tetapi cadangan itu boleh dibincangkan secara bersama dengan kepimpinan tertinggi PR.

“Pandangan yang diutarakan Zaid tidak salah, apatah lagi bertujuan mengukuhkan lagi parti. Namun cadangan itu perlu diterima secara majoriti oleh pucuk kepimpinan PR dan juga ahli secara keseluruhan.

“Cara lantikan juga perlu mendapat pandangan dan persetujuan ramai pihak. Melalui mesyuarat bersama komponen PR, barulah lantikan secara demokrasi dapat dilaksanakan,” katanya kepada: Sinar Harian:, semalam.

Agus juga tidak menolak kemungkinan keperibadian Nik Aziz yang baik dan dihormati antara sebab cadangan Zaid meletakkan Menteri Besar Kelantan itu sebagai Pengerusi PR.

Ditanya kemungkinan cadangan itu boleh menimbulkan keretakan dalam pakatan pembangkang yang kini diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim, Agus berkata, isu ini tidak akan timbul jika pemimpin tertinggi dalam PR sebulat suara memilihnya.

“Sekiranya Nik Aziz dipilih berdasarkan suara majoriti oleh kepimpinan tertinggi dalam pakatan, tidak akan timbul masalah perpecahan. Apatah lagi kini Anwar dibebani dengan pelbagai kesulitan termasuk kes perbicaraan liwat di mahkamah dan sebagainya yang menggugat kedudukan beliau,” katanya.

Menurutnya, meletakkan sesiapa sahaja sebagai ketua atau pengerusi PR tidak menjamin beliau dilantik sebagai Perdana Menteri sekiranya PR memerintah negara ini.

“Banyak kriteria lain yang dinilai melayakkan seseorang menjadi Perdana Menteri, dan ini tidak semestinya Nik Aziz dilantik menjadi ketua dalam pakatan, beliau akan dilantik menjadi Perdana Menteri,” katanya.

Tiada ulasan: