Ahad, 15 November 2009

Harga barang dijamin tidak naik

UTUSAN ONLINE


TEMERLOH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan memberi jaminan harga barang keperluan tidak akan melambung di kawasan yang dilanda banjir.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana pihaknya akan bekerjasama dengan pengurusan pasar raya bagi mengatasi masalah kenaikan harga barang terutama di kawasan yang dilanda banjir.

Melalui kerjasama itu, kata beliau, pasar raya akan membekalkan makanan ke kawasan banjir yang menghadapi kekurangan bekalan seperti ikan dan sayur-sayuran.

''Sehubungan itu, rakyat terutama penduduk di kawasan yang ditenggelami air tidak perlu bimbang dengan bekalan dan kenaikan harga barangan," katanya di sini hari ini.

Ismail Sabri memberitahu, pihaknya telah mengarahkan semua pengarah kementerian itu terutama di negeri utara dan pantai timur Semenanjung supaya sentiasa memantau harga barang keperluan sepanjang musim tengkujuh.

Jelas beliau, banyak faktor yang boleh menyebabkan harga barang keperluan meningkat pada musim tengkujuh.

''Apabila musim hujan, sesetengah kawasan tanaman sayur-sayuran ditenggelami air dan berlaku tanah runtuh sehingga menyebabkan hubungan jalan raya terputus. Ini mengakibatkan lori yang mengambil dan membawa sayur tidak dapat melalui jalan tersebut dan bekalan tidak sampai kepada pengguna.

''Nelayan juga tidak dapat turun menangkap ikan kerana laut bergelora dan ombak besar yang membahaya keselamatan mereka," katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera menasihati penduduk supaya mengutamakan keselamatan diri dan keluarga apabila banjir melanda kawasan mereka.

''Rakyat perlu sentiasa bersiap sedia menghadapi kemungkinan dilanda banjir dengan memastikan diri, keluarga dan dokumen penting dapat diselamatkan.

"Kalau pihak berkuasa keluarkan arahan supaya berpindah, kita perlu akur dengan arahan itu dan berpindah untuk mengelak berlakunya kejadian tidak diingini," tambahnya.

Tiada ulasan: