Ahad, 1 November 2009

Gerakan diminta hantar surat bantahan pada BNBBC

Jimadie Shah Othman


Gerakan diminta menghantar surat bantahan kepada Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) berhubung tindakan bendaharinya, Datuk Mohamed Aziz mendesak Presiden Gerakan Tan Sri Koh Tsu Koon berundur dari kabinet kerana didakwa berprestasi lemah.

Seorang naib presidennya, Datuk Dr Teng Hock Nan berkata, sekurang-kurangnya tindakan itu dapat dijadikan rekod sekiranya pihak media tidak melaporkannya.

"Kita patut tulis surat kepada BNBBC untuk menyatakan kemarahan kita dan mendapatkan jaminan supaya ia tidak berulang. Itu sekurang-kurangnya, (tindakan) yang lain kita tidak mahu cakap," kata Dr Teng dalam ucapan penggulungannya di persidangan perwakilan nasional 2009 Gerakan hari ini.

Teng turut menyifatkan kenyataan Mohamed, yang juga ahli Parlimen Seri Gading, sebagai satu penghinaan.

Sebaliknya, kata beliau, prestasi Dr Koh sangat baik kerana bekas ketua menteri Pulau Pinang itu hadir 100 peratus persidangan parlimen sesi lalu, kecuali sekali sahaja baru-baru ini kerana menghadiri mesyuarat penting.

Teng menyampaikan ucapan penggulungannya dalam bahasa Melayu, Inggeris dan bahasa Cina.

Semasa bercakap dalam bahasa Cina, Teng juga mengaitkan kemungkinan desakan supaya Dr Koh meletak jawatan menteri dan presiden parti Gerakan, sebagai satu konspirasi berkaitan dengan skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Beliau membangkitkan teori konspirasi itu kerana ahli parlimen Seri Gading itu turut membuat desakan yang sama terhadap presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat.

Teng turut mengingat para perwakilan bahawa Ong yang juga menteri pengangkutan merupakan orang utama yang mengambil inisiatif menjalankan siasatan terhadap skandal PKFZ.

"Pada 6 September lalu, presiden kita yang juga menteri yang menjaga KPI, hanya secara terbuka menyatakan sokongan terhadap penubuhan suruhanjaya diraja untuk menyiasat skandal PKFZ," katanya sambil menambah jika kedua-duanya dikaitkan, "maka dapat ditelah siapakah di belakangnya".

Sementara itu, seorang naib presiden Datuk Mah Siew Keong pula mendesak kerajaan mengambil tindakan segera terhadap pembaziran yang berlaku, seperti dimuatkan dalam Laporan Audit Negara baru-baru ini.

"Pembaziran, laporan audit, laptop berharga RM43,000, saya beli RM1,300 sahaja. Berapa orang diambil tindakan di mahkamah? Berapa yang dipecat?

"Belum banyak lagi. Rakyat hendak tengok tindakan. Kalau tidak, tahun depan, (ada lagi kes) pemutar skru RM50," katanya.

Sementara Dr Koh pula dalam penggulungan terakhir berharap parti itu di peringkat bahagian dan cawangan memainkan peranan lebih aktif dan tidak semata-mata berharap kepada Gerakan pusat.

"Kawasan yang penting dan strategik di mana kita berpengaruh mesti dipertingkatkan. Dalam pilihan raya kita boleh membantu rakan kita dan kemungkinan juga berlakunya pertukaran kerusi (bertanging). Itu bergantung kepada kekuatan kita di akar umbi," katanya.

Bagaimanapun, tambahnya, tranformasi yang dimahukan itu bukan senang, ibarat membesarkan seorang anak.

"Mungkin berkahwin senang, dapat anak senang. Tetapi bagaimana hendak mendidik bukan senang, terutama hendak membetulkan sesuatu yang tidak betul," katanya.

Tiada ulasan: