Rabu, 25 November 2009

Bustaman Cipta Alat Bakar Lemang Yang Tidak Perlukan Pekerja

BERNAMA


MEMBAKAR lemang secara tradisional dengan mengguna kayu api bukan mudah kerana ia memerlukan tenaga buruh antara tiga hingga empat orang tetapi lain pula bagi Ahmad Bustaman Wan Daud, 52, dengan alat ciptaannya hingga tidak memerlukan walau seorang pun pembantu.

Ahmad Bustaman berkata beliau hanya menggunakan bahanbahan terbuang antaranya tong dram, rantai motosikal buruk, motor wifer kereta dan tong gas yang perbelanjaannya tidak melebihi RM100.

"Selain menjimatkan kos menggaji pekerja, hasilnya juga lebih bermutu kerana ia masak secara merata dan tidak basi selama empat hari serta lazat berbanding pembakaran secara tradisonal," katanya ketika ditemui di warungnya berhampiran Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Kai Chih di sini barubaru ini.

Berkelulusan Institut Teknologi Mara (ITM) kini Universiti Teknologi Mara (UiTM), Bustaman berkata beliau mendapat ilham mencipta alat itu selepas melihat mesin membakar ayam golek yang menjadikan kerja lebih mudah.

Semasa menjelaskan bagaimana alat ciptaannya dihasilkan, beliau berkata tong dram ditebuk lubang di bahagian atas untuk memasukkan batang lemang sebelum ia dibakar. Tong dram berkenaan bertindak sebagai pendandang dengan pembakaran menggunakan gas silinder.

Terdapat gegancu di bawah tong dram yang disambung oleh rantai dan dua soket motosikal kepada motor wifer.

Apabila motor wifer itu berpusing dengan kuasa elektrik, tong dram berkenaan juga akan berpusing.

Di bawahnya pula dicipta satu alat yang berupa satu topi dengan tujuan membahagibahagikan api dari tong gas di peringkat bawah supaya kepanasannya lebih merata dan lemang masak sekata.

BAKAR 50 BATANG SEHARI

Bustaman berkata beliau hanya memerlukan masa tiga jam sahaja untuk sekali masak 21 batang lemang berbanding lebih lima jam untuk memasak antara 15 dan 20 batang secara tradisional.

Bagi mendapatkan batang buluh pula bukanlah kerja sembarangan kerana ia memerlukan saiz 6cm dan panjang 49cm yang ditebangnya sendiri di tebing sungai Kampung Jeram kirakira tujuh kilometer dari warungnya. "Saya pernah membakarnya mengikut cara tradisional dan mendapati bukan sahaja mengambil masa yang lama dan tenaga yang ramai malah sangat memenatkan dan memerlukan perhatian sepenuh masa," katanya yang merupakan anak Melayu pertama berjaya mencipta alat itu.

"Sekarang dalam sehari saya sendirian mampu membakar lebih 50 batang dan saya jual dengan harga RM5 sebatang tidak termasuk pencecahnya masakan daging dan ayam kampung," katanya.

SUKATAN SENDIRI

Sementara menunggu lemang masak Bustamam mengambil kesempatan membantu isterinya Norlita Mohd Noor, 43, menjual air tebu, air kelapa muda dan mengusahakan roti jala selain menjual lemang.

Bagaimanapun untuk menghasilkan lemang dengan menggunakan alat itu, bahanbahan seperti beras pulut dan santan hendaklah mengikut sukatan sendiri kerana jika tidak hasilnya kurang memuaskan.

Bustaman menjangka menjelang Hari Raya Aidiladha hujung bulan ini akan mendapat banyak tempahan kerana sambutan perayaan itu meriah di sini.

"Sehingga hari ini pun sudah ada yang menempahnya dan saya akan cuba memenuhi permintaan jika mendapat tempahan lebih awal," katanya.

Beliau berkata pada Hari Raya Aidilfitri lepas beliau hanya mampu membekalkan 60 batang daripada 150 batang tempahan disebabkan mereka membuat tempahan pada saatsaat terakhir hari lebaran itu.

Bustaman tidak gusar walaupun mendapat persaingan sengit dengan jiran terdekatnya di Kampung Kelubi kirakira 500 meter dari warungnya dan lebih 10 penjual lemang secara tradisional di Kampung Wakaf Lichong dan Kampung Tok Khamis. TERUS MENCIPTA

Mengenai hasil ciptaan alat itu, Bustaman berkata beliau sanggup mengkormersialkan sekiranya ada yang menempah dengan harga berpatutan.

Mengenai projek masa depan, Bustaman bercadang akan terus mencipta beberapa teknologi baru terutama mesin mengikis kulit tebu dan mesin mengupas kulit kelapa kerana sehingga sekarang masyarakat peniaga masih menggunakan kaedah tradisi walaupun dunia semakin maju dan bergerak pantas ke arah pemodenan.

Tiada ulasan: