Rabu, 25 November 2009

Blog pertahan artikel, biar disaman orang PAS

Jimadie Shah Othman
(kemaskini 12.54pm)


Satu blog yang sering mendedahkan pergolakan dalaman PAS tetap mempertahankan artikelnya yang mendakwa penglibatan seorang bekas calon parti itu dalam "konspirasi" menjatuhkan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Suwardi Yaacob, bekas calon ADUN di Perlis yang didakwa dekat exco kerajaan negeri Datuk Dr Hasan Ali, dituduh mengumpulkan maklumat kerajaan sehingga pemimpin PKR itu disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Selain bertegas dengan tuduhan tersebut, penulis blog Malaysian Waves Abdul Rahman Abdul Talib sebaliknya berkata beliau akan terus membuat lebih banyak pendedahan.

"Merujuk kepada surat (peguam) tuan dengan nombor rujukan: ZE(E)/L/1185/09/bob, saya ingin memberitahu pihak tuan bahawa saya tidak akan membawa turun artikel saya kerana saya mempunyai bukti kukuh terhadap pendedahan saya," katanya, Jumaat lalu.

Abdul Rahman, atau lebih popular dengan nama samarannya Tulang Besi, menjawab ugutan saman Suwardi bertarikh 19 November lalu.

Surat itu antaranya menuntut blog itu menarik balik siaran artikel 'Suwardi Yaakob di Belakang Konspirasi Menjatuhkan MB Selangor' yang diterbitkan Khamis lepas dalam masa 48 jam dari tarikh penerimaan notis.

Selepas enam hari notis tuntutan itu, semakan Malaysiakini hari ini mendapati artikel masih dimuatkan di blog berkenaan.

Usaha mendapatkan ulasan lanjut Suwardi setakat ini belum berhasil. Manakala peguamnya pula difahamkan sedang bercuti dan tidak dapat dihubungi buat masa ini.

Tulisan kontroversi yang sama turut diterbitkan dalam blog Perisik Rakyat - milik penulis blog Topeng Perak Unmasked - pada tarikh yang sama.

Abdul Rahman termasuk seorang penyumbang artikel di blog tersebut.

Suwardi turut menuntut Abdul Rahman mengeluarkan surat permohonan maaf yang dihantar kepadanya beserta ganti rugi am dan teladan.

Pada 14 Ogos lalu, Abdul Rahman yang mendakwa pernah berkhidmat sebagai pegawai khas kepada Dr Hasan pernah menghadapi tindakan undang-undang serupa daripada Suwardi berhubung artikel 'Konspirasi Membuang YB Saari Sungib dan Yang Menentang Idea Persepakatan PAS-Umno di Selangor'.

Pendedahan panas itu, yang didakwa dikirim kepada blog tersebut, mendakwa Dr Hasan terlibat menjatuhkan beberapa ADUN dan ahli parlimen PAS di Selangor yang pro-Pakatan Rakyat.

Abdul Rahman yang mendakwa tidak menerima notis tuntutan Suwardi tersebut bagaimanapun menarik kembali artikel itu atas alasan "permintaan tuan punya surat" dan "isu itu terlalu panas".

Tiada ulasan: