Isnin, 23 November 2009

Bayi seberat 6.15kg dilahirkan di Kedah


Aisha Bee Yassin melihat bayi lelakinya seberat 6.15 kilogram yang selamat dilahirkan di Pekan Lama, Kampung Baru, Changlun, semalam.


CHANGLUN - Sepanjang sembilan bulan mengandung, selera Aisha Bee Yassin hanya tertumpu kepada kedondong, bunga ros, roti serta susu.

Wanita itu tidak menyangka hasil pemakanannya itu, dia dikurniakan bayi lelaki seberat 6.15 kilogram, dipercayai bayi terbesar yang pernah dilahirkan di negeri ini.

Malah, bayi seberat itu dilahirkan secara normal di sebuah pusat perubatan swasta di Alor Setar kira-kira pukul 2 pagi ini.

Menurut Aisha Bee, 35, dia mula sakit hendak bersalin pada pukul 10 malam tadi dan suaminya menghantarnya ke sebuah hospital di Jitra, namun mereka tidak mahu menerimanya kerana sudah terlewat.

''Saya dibawa ke sebuah pusat perubatan swasta dan bersalin dengan bantuan seorang doktor serta beberapa kakitangan pusat perubatan itu,'' katanya ketika ditemui di rumahnya di Pekan Lama, Kampung Baru di sini hari ini.

Katanya, sepanjang mendapat rawatan semasa mengandung, doktor tidak mengesyaki kandungannya seberat itu.

''Selepas saya dibawa ke pusat perubatan swasta itu, doktor kata mungkin bayi saya seberat empat kilogram dan bertanya sama ada saya mahu bersalin secara pembedahan.

''Saya menolak kerana mahu melahirkan anak secara normal dan saya langsung tidak menyangka anak saya ini mempunyai berat seperti bayi yang berusia tiga bulan,'' ujarnya.

Menurut Aisha Bee, sepanjang kehamilannya, dia hanya menjamah nasi lemak setiap pagi untuk bersarapan dan amat gemar makan buah kedondong atau amra, bunga ros, roti serta susu.

''Saya boleh habiskan satu kilogram buah amra dalam sehari dan makan bunga ros merah dua hingga tiga kuntum dalam sehari,'' katanya.

Jelasnya, sewaktu melahirkan anak pertamanya yang kini berusia 13 tahun, bayinya itu seberat 3.9 kilogram manakala anak keduanya seberat 3.8 kilogram.

''Apabila sampai ke anak ketiga, berat bayi saya semakin bertambah iaitu empat kilogram dan anak saya yang keempat pula seberat lima kilogram.

''Yang kelima ini memecahkan rekod abang serta kakaknya iaitu 6.15 kilogram dan doktor menjangka jika saya mengandung lagi anak saya mungkin mencapai berat sehingga tujuh kilogram,'' tambahnya.

Dalam pada itu, suami Aisha Bee, Mohd. Ali Khan Razali, 41, berkata, dia sedikit terkejut apabila pertama kali melihat bayi lelakinya itu.

''Memang perut isteri saya agak besar dan saya ingatkan kami akan mendapat bayi kembar. Tak sangka pula bayi ini seberat 6.15 kilogram. Kelahiran bayi ini menceriakan lagi kehidupan kami sekeluarga,'' ujarnya.

Tiada ulasan: