SINAR HARIAN ONLINE
HULU YAM – Kerajaan negeri mengambil langkah membeku dan membatalkan segala permohonan bagi membina sebarang bentuk pembangunan di lereng-lereng bukit.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, langkah itu diambil bagi mengelakkan kejadian runtuhan seperti yang berlaku semalam daripada berulang.
“Sebab itu, awal-awal lagi bila kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat (PR) memerintah, kita tidak membenarkan semua permohonan bagi pembangunan kelas tiga dan empat kerana kita khuatir berlaku kejadian runtuhan tanah.
“Namun, apa yang berlaku semalam (kelmarin) adalah satu kejadian yang disifatkan sebagai takdir dan tidak dapat dielakkan,” katanya selepas melakukan lawatan ke tapak runtuhan tanah yang menimpa rumah banglo di sini, semalam.
Katanya, kejadian runtuhan yang berlaku kelmarin mendorong kerajaan negeri untuk lebih tegas dalam memberi kebenaran untuk sebarang permohonan pembangunan di lereng bukit.
“Oleh itu, kerajaan negeri akan pantau lebih baik lagi segala projek pembangunan yang dilaksanakan di lereng-lereng bukit,” katanya.
Beliau berkata, apa yang menjadi tanda tanya adalah keputusan yang dibuat oleh Persatuan Pemaju-pemaju Perumahan dan Pembinaan masih mahu membina bangunan di kawasan tanah yang diklasifikasikan dalam kelas tiga.
Namun katanya, keputusan untuk membina sebarang bangunan di kawasan itu perlu menilai kira faktor lain dan jangka masa panjang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan