Sabtu, 6 Disember 2008

PAS: S'gor hanya tunda cadangan ketatkan jualan arak

Jimadie Shah Othman


Cadangan membataskan jualan alkohol yang dibentangkan dalam mesyuarat kerajaan Selangor tidak ditolak, sebaliknya ditangguhkan bagi mendapatkan pandangan peniaga, kata exco hal-ehwal agama Datuk Dr Hasan Ali.

"Tidak benar ditolak. Keputusan yang dibuat, (kerajaan) mahu mendapatkan pandangan daripada pekedai, hendak tahu kenapa dia jual?" katanya dalam sidang media bersama exco-exco negeri daripada PAS di Shah Alam petang ini.

Dr Hasan menambah, keputusan lanjut berhubung cadangan itu hanya akan dibuat selepas menerima maklum balas pekedai, yang dijangkakan diadakan tahun depan, dari seluruh negeri.

"Keputusan (mengetatkan jualan arak) ditangguhkan untuk bertemu dan mendapatkan pandangan mereka (pekedai) mengenai tindakan mereka yang akan diambil," jelasnya, yang juga pesuruhjaya PAS negeri.

Katanya, dialog itu nanti akan turut melibatkan pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Dr Hasan juga menjelaskan, cadangan yang dikemukakannya hujung bulan Oktober bukanlah pengharaman penuh minuman itu, sebaliknya hanya merujuk minuman yang mengandungi kandungan alkohol di bawah 5.8 peratus yang dijual meluas di kedai serbaneka 24 jam, stesen minyak dan pasar mini.

Beliau melahirkan rasa kesal dengan laporan akhbar-akhbar berbahasa Cina minggu lepas yang disifatkannya "cuba menggambarkan seolah-olah PAS Selangor tidak peka terhadap kehadiran masyarakat berbilang kaum dan agama".

Diminta menjelaskan reaksi exco PKR dan DAP ketika cadangan itu dibentangkan dalam mesyuarat exco negeri, Dr Hasan mengakui terdapat perbezaan pandangan antara mereka.

Namun, tambahnya, perbincangan itu berlangsung dalam keadaan terbuka dan penuh kebijaksanaan.

"Berbincang secara terbuka. Suasana begitu terbuka. (Menteri besar) Tan Sri (Abdul Khalid Ibrahim) memberi ruang kepada kita. Kita berbincang atas nama Selangor.

"Saya tidak berbincang atas nama PAS, (tetapi) bincang untuk kebaikan Selangor," katanya.

Berhubung bantahan pemimpin DAP yang mengkritik cadangannya, Dr Hasan berkata, perkara itu berlaku disebabkan parti itu tidak mendapat gambaran dan fakta yang jelas berhubung cadangannya itu.

"Atas ketidakjelasan itu, respons DAP agak terkeluar sedikit," katanya.

Menghuraikan lagi cadangannya itu, Dr Hasan berkata, menghadkan jualan alkohol melibatkan seluruh Selangor bukan saja kawasan berpenduduk majoriti Melayu untuk membendung masalah alkoholisme generasi muda.

Mendakwa "bukan seronok hendak menguatkuasakan perkara ini", beliau berkata, cadangan itu dibuat bagi mengurangkan gejala alkoholisme di kalangan anak muda.

"Tidak kisah bangsa apa. Minum (arak), dia mabuk, bawa kereta, (kemudian) kemalangan.

"Ini salah satu daripada kemungkinan (akibat meminum arak)," katanya.

Tiada ulasan: