Jumaat, 16 Oktober 2020

Sarah Hildebrand akui dah tak bertudung

Malaysiakini

Keputusan pelakon Sarah Hildebrand membuka tudung mengejutkan ramai selepas dia memuat naik imej di Instagram dengan penampilan terbarunya sejak semalam.

Tindakan pelakon yang namanya melonjak melalui drama Pujaan Hati Kanda itu ternyata mengundang persoalan.

Bahkan pada awalnya, terdapat netizen beranggapan perkongsian tersebut adalah gambar lama Sarah.

Bercakap kepada Malaysiakini, Sarah atau nama penuhnya Nur Sarah Marie Hildebrand Asyraf Hildebrand mengesahkan, dia sememangnya sudah tidak lagi bertudung.

“Ada sebab mengapa saya melakukannya, namun saya tidak mahu bercakap mengenainya lebih lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Namun, pelakon telefilem Jalan Singkat Ke Syurga itu secara umum menjelaskan, jangan menilai seseorang berdasarkan penampilannya.

“Kita tak tahu apa yang seseorang itu lalui, tak elok menghakimi seseorang hanya berdasarkan penampilannya,” katanya.

Untuk rekod, aktres kacukan Melayu, Jerman dan AS itu mula memakai tudung pada September 2015.

Tanpa menyatakan sebarang kapsyen, Sarah, 29, hanya meletakkan emoji ‘love’ pada perkongsiannya di Instagram itu yang memaparkan imejnya bersama suami, Otto Gillen.

Peminat hormati keputusan

Dia turut memuat naik perkongsian yang mempersoalkan bagaimana seseorang itu beragama tetapi mempunyai kebencian dalam diri.

Sarah dan Otto mendirikan rumah tangga pada November 2019. Bagaimanapun, mereka belum dikurniakan cahaya mata.

Ditanya mengenai reaksi netizen, Sarah berkata, dia berterima kasih kerana sebahagian besar mereka tidak menghakimi tindak-tanduknya serta masih mendoakannya agar terus beristiqomah.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kerana ada pengikut dan bukan pengikut di Instagram yang masih memberikan kata-kata positif serta tidak mengecam.

“Mereka cukup menghormati keputusan saya,” katanya.

Sementara itu, Otto melalui IG Story menyatakan, dia menyokong keputusan dibuat isterinya sambil mengiringi kenyataan itu dengan memuat naik gambar sama.

“Saya menyokong sepenuhnya keputusan peribadi isteri. Ini adalah satu-satunya respons saya. Jangan mesej saya,” katanya.

Tiada ulasan: