Jumaat, 23 Oktober 2020

Dong Zong belum diharamkan? RoS hanya beri surat amaran

Athirah Huda Zalhe

 

PEMBELA kecewa aduan kepada RoS tidak dapat tindakan sewajarnya

BANGI – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) kecewa kerana aduan yang dibuat terhadap Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), tidak mendapat tindakan sewajarnya dari Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Ini berikutan usaha PEMBELA bersama wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam dan Melayu lain yang menuntut Dong Zong diharamkan gagal, setelah RoS hanya mengeluarkan surat amaran pentadbiran kepada pertubuhan radikal itu.

Dalam surat bertarikh 7 Oktober itu, RoS Negeri Selangor menyatakan bahawa jabatan itu telah menjalankan siasatan ke atas Dong Zong untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Surat yang ditandatangani Pengarahnya, Nurul Azhar Husin turut menyatakan pihak jabatan itu telah mengeluarkan Surat Amaran Pentadbiran kepada Dong Zong, supaya sentiasa mematuhi peruntukan-peruntukan Akta Pertubuhan 1966 serta undang-undang berdaftar pertubuhan.

Sebelum ini, PEMBELA konsisten mendesak kerajaan dan RoS membatalkan pendaftaran pertubuhan radikal Cina itu, termasuk melancarkan petisyen bagi menuntut supaya Dong Zong diharamkan.

Menerusi aduan yang dibuat PEMBELA menegaskan mengenai siri penentangan Dong Zong terhadap pengenalan tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di sekolah, yang dianggap sebagai satu bentuk pelanggaran kepada Perlembagaan.

Ini kerana tulisan Jawi dilindungi oleh Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, Seksyen 9 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967.

Selain itu, aduan berkenaan juga menyenaraikan penentangan konsisten Dong Zong terhadap Dasar Pendidikan Kebangsaan, termasuk Penyata Barnes 1951; Ordinan Pelajaran 1952; Penyata Razak 1956 dan Penyata Rahman Talib 1960.

Menurut PEMBELA, Dong Zong juga menentang Dasar Kebudayaan Negara, Rancangan Sekolah Integrasi pada 1985 dan lantikan guru tidak berbahasa Cina pada 1987, di mana bertentang dengan peruntukan Seksyen 2A Akta Pertubuhan 1966.

Walaupun tindakan daripada RoS tidak seperti yang dituntut, PEMBELA menegaskan pihaknya tidak akan berputus asa menjadi benteng kepada identiti nasional seperti termaktub dalam Perlembagaan.

“Terima kasih kepada semua wakil NGO yang sama-sama berganding bahu dalam usaha ini, terutamanya NGO Armada Malaiu Malaysia yang telah mewakilkan peguam dari biro undang-undangnya,” kata PEMBELA dalam kenyataan, hari ini.

Tiada ulasan: