Rabu, 11 Julai 2018

Prasarana cari jalan turunkan kos

Norlaile Abd Rahman
LRT
Gambar hiasan LRT. foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR,
 

KUALA LUMPUR- Prasarana Malaysia Bhd. (Prasarana) akan bekerjasama erat dengan Kementerian Kewangan dan Rakan Penyampai Projek (MRCB-GK) untuk mengurangkan kos pembinaan projek LRT 3.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Masnizam Hisham berkata, pihak pengurusan Prasarana telah mula mengurangkan kos projek tersebut semenjak Februari 2018.

“Prasana mengambil maklum kenyataan Menteri Kewangan Malaysia, Lim Guan Eng berhubung peningkatan kos keseluruhan projek LRT3 dan akan berusaha giat untuk mengurangkan lagi kos tersebut.

“Kami akan terus bekerjasama erat dengan Kementerian Kewangan Malaysia dan Rakan Penyampai Projek (MRCB-GK) untuk mengenalpasti peluang-peluang tambahan untuk mengurangkan kos projek tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Guan Eng dalam satu kenyataan menegaskan projek tersebut hanya boleh diteruskan jika Prasarana dapat mengurangkan kosnya lebih daripada RM6 bilion.

Lantaran itu, Kementerian Kewangan telah mengarahkan Prasarana untuk menyemak semula segala kos projek untuk memastikan supaya projek LRT3 berdaya maju.

Biarpun begitu, pengurangan kos tersebut tidak menjejaskan integriti jajaran rel, keselamatan dan kualiti perkhidmatan yang diberikan.

Sebelum ini, Prasarana telah memperolehi jaminan kerajaan bagi pinjaman sejumlah RM10 bilion untuk membiayai projek ini.

Walau bagaimanapun, pada 30 Mac lalu, Prasarana telah meminta jaminan kerajaan tambahan sebanyak RM22 bilion lagi untuk membiayai pinjaman bagi menyiapkan projek LRT3 ini.

Guan Eng berkata, kos keseluruhan projek itu mencecah RM31.45 bilion akibat kelemahan pengurusan projek oleh Prasarana.

Projek LRT3 adalah projek utama bagi menyelesaikan isu kesesakan lalu lintas dalam satu koridor pembangunan ekonomi dan kepadatan penduduk.

Jajaran LRT3 kritikal kerana menawarkan perkhidmatan LRT kepada kepadatan penduduk seramai 2 juta orang di sepanjang koridor dengan kapasiti seramai 36,700 penumpang sejam setiap hala. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: