Rabu, 14 Disember 2016

Mengapa pemimpin bukan Islam campuri ehwal Islam?





 
Oleh SYED AHMAD FADHLI


BELAKANGAN ini, semakin lantang suara pemimpin bukan Islam sama ada yang di dalam Kerajaan, Pembangkang mahupun NGO tertentu yang mendesak itu dan ini mengenai undang-undang Islam.

Apa agenda mereka sebenarnya? Adakah mereka ingin mendapatkan keuntungan politik bagi meraih sokongan pengundi bukan Islam?

Dalam hal RUU 355, mereka begitu lantang menghalang usaha memperkasakan Mahkamah Syariah yang hanya melibatkan orang Islam. Aneh bukan?

Ironinya, apabila Kerajaan Persekutuan membentangkan RUU Pindaan Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Penceraian) 1976 (Akta 164), merekalah antara yang begitu berbangga menyambutnya dan menyeru semua pihak menyokongnya tanpa berbelah-bahagi.

Kerana apa?

Dengan pindaan terbaru itu nanti, anak-anak (yang berumur bawah 18 tahun) kepada muallaf yang baru memeluk Islam, tidak lagi boleh diislamkan secara sebelah pihak (Unilateral Conversion), pengislaman itu memerlukan persetujuan ibu dan bapa.

Namun, agak pelik pindaan itu kerana ia hanya menyatakan agama Islam sahaja yang memerlukan persetujuan ibu dan bapa si anak, sedangkan agama lain tidak pula disebut.

Timbul juga persoalan adakah pindaan Akta 164 itu berperlembagaan seperti yang telah disuarakan oleh Dato' Zainul Rijal Abu Bakar, Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia?

Hal ini kerana Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan menyebut "Bagi maksud Fasal (3), agama bagi seseorang yang berumur kurang daripada lapan belas tahun adalah ditetapkan oleh ibu bapa atau penjaganya."

Maksud "parent" dalam Perkara 12(4) sebagai merujuk kepada sama ada Ibu ATAU Bapa telah ditafsirkan oleh Mahkamah Persekutuan dalam penghakiman kes Subashini lawan Saravanan (Muhammad Shafi) pada 2007.

Hakim Abdul Aziz Mohamad dalam penghakiman tersebut menegaskan bahawa maksud 'parent' dalam Perkara 12(4) ditafsir dengan 'by his father or his mother or guardian'.

Pengislaman anak-anak di bawah umur 18 tahun oleh bapa yang Muslim diktiraf Mahkamah Persekutuan sebagai betul dan tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan.

RUU Pindaan Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Penceraian) 1976 (Akta 164) itu baru sahaja di peringkat Bacaan Kali Pertama, ianya belum pun dibahaskan apatah lagi diluluskan.
Sokongan majoriti 2/3 Dewan juga diperlukan sekiranya Kerajaan Pusat turut berhasrat meminda Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan.

Apa yang pasti, PAS semestinya mempunyai pendirian yang tegas dan tidak akan tunduk kepada mana-mana pihak dalam hal melibatkan akidah ummat Islam.
UMNO, PKR, dan PAN tidaklah saya pasti apa pendirian mereka dalam hal ini.?

Pada Khamis lepas, Sidang DUN Perlis telah meluluskan pindaan Seksyen 117 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perlis 2006 yang menyelaraskan definisi 'parent' iaitu Ibu ATAU Bapa, bukannya 'parents' iaitu Ibu DAN Bapa.

Dengan pindaan terbaru, seksyen tersebut menyatakan seseorang yang bukan beragama Islam boleh memeluk agama Islam jika dia sempurna akal dan sudah mencapai umur 18 tahun; atau jika dia belum mencapai umur 18 tahun, ibu ATAU bapa atau penjaganya mengizinkan pemelukan agama Islam olehnya.

Ketika sesi pengundian kesemua, 12 ADUN UMNO dan 1 ADUN PAS menyokongnya manakala 1 ADUN PKR menentang, 1 ADUN MCA tidak mengundi.

Rentetan daripada itu, Kerajaan Negeri Perlis dikritik keras oleh parti MCA, MIC, Gerakan dan parti bukan Islam yang lain.

Hari ini pula,Ketua PKR Sarawak Baru Bian bersama Persatuan Gereja-gereja di Sarawak (ACS) mendesak Kerajaan Negeri Sarawak meminda Seksyen 69 Ordinan Majlis Islam Sarawak 2001 yang membolehkan kanak-kanak diislamkan secara sebelah pihak.

Mengapa pula sehingga pemimpin bukan Islam pula hendak mengarah Kerajaan meminda undang-undang Islam.?

Sungguh, ini perbuatan melampau.

Bukan sahaja di Sarawak, undang-undang Islam di Perak, Wilayah Persekutuan, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan juga menggunapakai definisi 'parent' itu ialah Ibu ATAU Bapa.

Mungkin ramai yang tidak tahu, hal ehwal Islam adalah kuasa Negeri sepertimana tertakluk dalam Butiran 1, Senarai II Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan. Sebab itulah para Sultan dan Raja-Raja Melayu merupakan Ketua Agama Islam di setiap negeri masing-masing.

Jadi, sebarang pindaan terhadap enakmen undang-undang Islam adalah kuasa Kerajaan Negeri, bukannya Kerajaan Persekutuan.

Ada yang berhujjah menggunapakai keputusan Kabinet pada 24 April 2009 yang memutuskan bahawa anak-anak kekal menganut agama asal ibu bapa masing-masing semasa berkahwin, walaupun ibu atau bapa mereka kemudiannya memeluk agama lain.

Keputusan Kabinet itu ditegur oleh JAKIM pada 25 April 2009 dengan menyatakan "Status agama anak: Perlu lihat hukum syarak".

Bahkan, keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-87 yang bersidang pada 23 - 25 Jun 2009 telah membincangkan Status Agama Anak Bawah Umur Selepas Salah Seorang Pasangan Memeluk Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

1. Apabila salah seorang ibu atau bapa memeluk Islam, agama anak dibawah umur juga adalah Islam dan penjagaan anak hendaklah diletakkan di bawah ibu atau bapa yang beragama Islam;

2. Oleh hal yang demikian apabila salah seorang pasangan (ibu atau bapa) memeluk agama Islam, status agama bagi anak bawah umur pasangan adalah secara langsung beragama Islam;

3. Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa agama seseorang yang di bawah umur 18 tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapa penjaganya tidak perlu dipinda.

Adalah jelas bahawa keputusan di atas telah disandarkan pada asas hujahan yang kukuh dan bersesuaian dengan kedudukan Islam sebagai agama persekutuan sebagaimana termaktub pada Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

Kita hidup di sebuah negara yang berbilang bangsa dan agama. Sifat saling menghormati dan toleransi sememangnya perlu diamalkan bagi membentuk perpaduan dan menjana keharmonian.

Justeru, adalah amat tidak wajar pemimpin bukan Islam cuba masuk campur hal ehwal undang-undang orang Islam.

Apakah perasaan mereka seandainya orang Islam pula mendesak penganut Kristian, Hindu dan Buddha meminda undang-undang agama mereka?

*  SYED AHMAD FADHLI.  Pegawai Pusat Penyelidikan PAS 


Tiada ulasan: