Rabu, 14 Disember 2016

Jika PPBM tidak diberi kerusi, perjanjian ini tiada makna, kata Muhyiddin [TONTON VIDEO]

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
PETALING JAYA: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin merayu agar Pakatan Harapan (PH) menimbangkan pemberian kerusi untuk ditandingi mereka pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kelak.
 
Muhyiddin berkata, PPBM sebagai sebuah parti baru begitu memerlukan pertimbangan daripada PH yang terdiri daripada PKR, DAP dan AMANAH. 
 
"Sebagai parti baru kita ingatkan diri kita, kita belum ada kerusi lagi, kita minta kawan-kawan kiri dan kanan menimbangkan ruang," katanya dalam sidang media sempena majlis tandatangan perjanjian kerjasama politik antara PPBM dan PH.
 
Perjanjian itu ditandatangani bersama oleh Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Lim Guan Eng (Setiausaha Agung DAP), Mohamad Sabu (Presiden AMANAH) dan Muhyiddin sendiri selaku Presiden PPBM.
 
Tambah bekas timbalan perdana menteri itu, perjanjian yang ditandatangani hari ini tidak akan bermakna sekiranya parti pimpinannya tidak diberikan kerusi untuk pada PRU14.
 
"Kalau tidak, tidak ke mana muafakat kita ini kalau hanya membantu dari bawah dan tidak memberi bantuan dari segi kawasan-kawasan yang kita boleh menangi," kata beliau lagi.
 
Salah satu parti dalam PH iaitu AMANAH sebelum ini menegaskan akan menurunkan calon di semua kerusi yang pernah ditandingi PAS.
 
Perkara itu ditegaskan Pengarah Pilihan Raya AMANAH, Dr Hatta Ramli, pada Konvensyen Nasional AMANAH, beberapa hari lalu.
 
Malah Hatta turut membangkitkan persoalan iaitu di mana PPBM akan bertanding dalam pilihan raya akan datang sekiranya AMANAH melawan pada kerusi yang dipertandingkan PAS.
 
"Jika DAP tidak berikan sebarang kerusi, di mana mereka akan bertanding? Kita sentiasa sesuaikan dan berikan kerusi, maka PKR dan DAP juga boleh," petik kata Hatta.
 
 
 

Tiada ulasan: