Jumaat, 16 Disember 2016

Amanah tiada ruang di Pantai Timur

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KOTA BHARU: Usaha Pakatan Harapan (PH) yang dikuasai oleh DAP untuk mendapatkan sokongan Melayu terus menemui jalan buntu.
 
Parti Amanah Negara (Amanah) dilihat gagal bagi merealisasikan hasrat DAP itu selepas menyingkirkan PAS daripada Pakatan Rakyat.
 
Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, penubuhan Amanah, DAP mengharapkan dapat menarik sokongan Melayu.
 
"Namun dua pilihan raya kecil sebelum ini menjadi bukti PAN (Amanah) gagal dan majoriti besar dalam kalangan ahli masih bersama PAS.
 
"Kecuali beberapa bekas pimpinan yang kecewa, bermasalah dan sebagainya," lapor portal berita Harakahdaily semalam.
 
Katanya, satu lagi cara untuk menguasai undi melayu ialah berusaha menarik parti serpihan Umno iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
 
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Baru itu, untuk mengekalkan atau menagih sokongan Melayu Islam, PPBM tidak mempunyai banyak pilihan melainkan bersama PAS.
 
"Andainya Hari ini  PPBM dilihat jelas menyokong DAP, atau menyokong bonekanya, PAN (Amanah) maka hari ini juga sokongan Melayu Islam terhadap PPBM mula menjauh," katanya.
 
Jelas beliau, pilihan terbaik PPBM adalah bersama PAS dalam kerangka untuk mengganti Umno serta memperkasakan orang Melayu.
 
"Penyokong-penyokong Bersatu (PPBM) saya yakin terdiri daripada orang yang tidak boleh menerima perjuangan yang dibawa oleh DAP dan bonekanya. 
 
"Walaupun Bersatu (PPBM)  mendapat simpati dan sokongan daripada mereka yang tidak berpuas hati dengan Umno dan sebagainya," katanya.
 
Katanya lagi, PAS sudah membuat pendirian yang tegas tidak akan bersama DAP dan PAN (Amanah) kerana kedua-dua parti berkenaan mengkhianati perjuangannya. 
 
"Itu merupakan satu kenyataan cukup jelas, kalau Bersatu (PPBM) berminat dengan PAS dia kena pilih untuk bersama PAS.
 
"Walaupun saya sebut atau tidak, itulah pilihan yang ada iaitu DAP atau PAS," katanya sebagai cadangan kepada PPBM.
 
Bagi beliau, Amanah hanyalah parti serpihan dilahirkan bagi menjadi tongkat. 
 
Tambahnya, di Pantai Barat, Amanah menjadi  tongkat kepada DAP dan di Pantai Timur khususnya Kelantan dan Terengganu mereka menjadi tongkat Kepada Umno yang akan memberikan  talian hayat kepada Umno untuk memenangi kerusi kerusi di Pantai Timur. 
 
 

Tiada ulasan: