Selasa, 4 Februari 2014

Tidak iktiraf CEC: DAP heret RoS ke mahkamah

OLEH V ANBALAGAN, PENOLONG PENGARANG BERITA


DAP akan heret Jabatan Pendaftaran Pertubuhan ke mahkamah, kata Setiausaha Agung DAP, Lim GUan Eng. Gambar fail.DAP akan heret Jabatan Pendaftaran Pertubuhan ke mahkamah, kata Setiausaha Agung DAP, Lim GUan Eng. Gambar fail. 

























 
DAP hari ini mendedahkan akan mengheret Jabatan Pendaftaran Pertubuhan( RoS) ke mahkamah berikutan keengganan badan itu mengiktiraf pelantikan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) yang diadakan dalam kongres khas September tahun lalu.

Parti itu memfailkan permohonan semakan kehakiman dua minggu lalu dan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 11 Mac bagi sesi pendengaran permohonan parti untuk mendapatkan kebenaran.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, yang dinamakan sebagai pemohon mahu mahkamah mengeluarkan perintah membatalkan keputusan RoS dan mengisytiharkan pelaksanaan badan itu adalah tidak sah serta tidak mempunyai kesan undang-undang ke atas parti berkenaan.

Lim dalam afidavit bagi sokongan semakan kehakiman menyatakan keputusan untuk tidak mengiktiraf CEC merupakan di luar kuasa undang-undang malah ia juga perbuatan yang  tidak masuk akal dan dilakukan dengan niat jahat.

Beliau mendakwa RoS bertindak di luar bidang kuasa mengikut Akta Pertubuhan 1966 apabila nekad untuk tidak mengiktiraf CEC.

"Keputusan RoS itu tidak sah dan tiada kesan undang-undang kerana tidak tertakluk dalam mana-mana perundangan bagi menahan pengiktirafan," katanya.

Afidavit itu juga ditunjukkan oleh Lim kepada The Malaysian Insider.

Beliau berkata, RoS juga tidak pernah memaklumkan kepada DAP mengenai sebarang pertikaian yang timbul daripada kongres khas itu.

"RoS tidak pernah memberi peluang kepada DAP untuk membalas aduan tersebut sebelum keputusan menahan pengiktirafan dilakukan" katanya.

Beliau juga menyifatkan keputusan RoS itu sebagai salah satu lagi penyalahgunaan undang-undang dan tidak munasabah kepada DAP.

Ketua menteri Pulau Pinang itu berkata, kegagalan RoS yang tidak menghantar sebarang surat jawapan kepada DAP membuktikan betapa badan itu sebenarnya menyalahgunakan kuasa selain dilihat bertindak sewenang-wenangnya dan menindas parti itu.

Pada 15 Disember 2012 DAP melaksanakan kongres nasional dengan 20 ahli dilantik melalui pemilihan CEC.

Bagaimanapun, pada 17 April 2013, RoS mengeluarkan notis kepada DAP mendakwa terdapatnya aduan penyelewengan semasa pemilihan tersebut yang sepatutnya diadakan pada Disember.

Ia menyebabkan keputusan pemilihan disiasat semula malah RoS juga bertindak mengarahkan DAP mengadakan semula CEC pada 30 Julai tahun lalu.

Akur dengan desakan itu, DAP mengadakan semula kongres khas pada 29 September 2013.

Lim juga turut mempertahankan 20 ahli yang dilantik semasa CEC adalah mengikut peruntukan dalam perlembagaan parti dan mereka dipilih sebagai pemegang jawatan utama.

Namun, Lim berkata pada 6 Disember, RoS menghantar surat kepadanya memaklumkan tidak akan mengiktiraf pelantikan jawatan anggota DAP CEC baru sehingga siasatan selesai.

Beliau berkata, RoS juga memutuskan untuk tidak membenarkan anggota DAP yang dilantik sebagai anggota CEC membuat keputusan bagi pihak parti.

20 Disember pula menyaksikan DAP menulis surat kepada RoS menuntut badan itu menjelaskan di bawah peruntukan undang-undang mana yang digunakan dalam membuat keputusan itu.

DAP juga memberitahu kepada RoS bahawa tidak akan terikat dengan keputusan yang tidak mempunyai asas undang-undang dan akan membawa perkara itu ke mahkamah sekiranya perlu.

Tempoh 14 hari juga diberikan tetapi RoS gagal untuk memberi sebarang maklum balas terhadap surat tersebut.

Pada 8 Januari 2014, DAP sekali lagi menghantar surat kepada RoS dan menghantar semua dokumen yang diminta.

DAP menuntut RoS menyediakan nama dan cara untuk menghubungi pegawai penyiasat yang bertanggungjawab dalam kes itu bagi membolehkan komunikasi dilakukan.

Namun, RoS tidak membalas surat berkenaan.

Melihat dari situasi tersebut, DAP akhirnya nekad untuk memfailkan permohonan bagi semakan kehakiman berhubung keputusan RoS.

Tiada ulasan: