Seminar Kassim Ahmad bangkit fitnah, kata Pas Ahmad (empat, kanan) dengan ahli lain menunjukkan salinan laporan dibuat di IPD Kota Setar, Kedah, semalam.


ALOR SETAR - Dewan Ulama Pas Kedah menggesa pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan terhadap penganjuran seminar Pemikiran Kassim Ahmad Satu Penilaian yang berlangsung di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, Ahad lalu.

Sehubungan itu, Dewan Ulama Pas Kedah tampil membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, di sini, semalam.

Setiausahanya, Ahmad Yahya, berkata penganjuran seminar tersebut telah membangkitkan semula satu fitnah yang boleh menyebabkan keharmonian negara tergugat.

Menurutnya, seminar terbabit memberi ruang kepada Dr Kassim Ahmad untuk kembali mengemukakan pandangan beliau yang sebelum ini sudah sekian lama terkubur selepas menimbulkan pelbagai konflik suatu masa dahulu.

“Beliau kembali mengulangi kenyataan berkaitan dengan hadis bukan sumber rujukan utama, rambut wanita bukan aurat dan juga perkara yang berkaitan dengan mendewa-dewa Nabi Muhammad SAW dan ulama.

“Justeru, kita mengira perkara tersebut menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan rakyat beragama Islam. Malah turut mencabar kedaulatan agama Islam di negara ini,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan berkenaan.

Ahmad, yang juga Adun Alor Mengkudu berkata, pihaknya tidak boleh terima sebarang cetusan yang boleh membangkitkan rasa tidak senang dalam kalang umat Islam di negara ini.

Menurutnya, kenyataan Kassim jauh terpesong daripada landasan Islam dan satu penghinaan kepada Majlis Raja-Raja yang bertanggungjawab ke atas kesucian Islam.

“Kenyataan beliau jelas menghina Nabi Muhammad SAW, syariat Islam dan sumber hukum, iaitu hadis. Keadaan ini telah mencemarkan Islam dan bercanggah dengan akidah Islam,” katanya.