Sabtu, 15 Februari 2014

Sanusi Junid: Umno dijangka akan terus hilang kerusi

KL TODAY

 


Keputusan dua pilihanraya umum, 2008 dan 2013 menunjukkan bahawa BN gagal mendapat majoriti dua pertiga.“Adakah trend ini akan berterusan pada tahun 2018?” tanya bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid dalam Syarahan Perdana Renaisans Melayu yang turut dihadiri Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh dan tokoh-tokoh Melayu dalam pelbagai bidang di sini malam tadi.

Katanya, kegagalan BN mengekalkan majoriti dua pertiga menunjukkan bahawa kuasa politik yang dipegang orang Melayu akan hilang pada suatu hari nanti.

Beliau yang juga bekas Naib Presiden Umno berkata, orang Melayu perlu mengambil iktibar daripada kejatuhan Empayar Uthmaniyyah yang dianggap sebuah kerajaan yang hebat dan tidak mungkin dapat ditewaskan suatu ketika dahulu.

Menurut beliau, kekalahan kerajaan Uthmaniyyah dalam Perang Lepanto pada 7 Oktober 1571 telah menaikkan moral tentera Kristian sehingga kerajaan Islam itu terus mengalami kekalahan sebelum runtuh pada 1919.

“Pada 2008, buat pertama kalinya BN hilang majoriti dua pertiga keramat yang dipegang sejak merdeka. Apa ertinya ini? Adakah ia akan menjadi kekalahan atau kegagalan berterusan?

“Kekalahan sebegini menimbulkan semangat kepada musuh kita. Musuh kita tahu memperalatkan tokoh-tokoh Melayu yang bergelumang dengan dosa dan noda kerana mereka tahu Melayu boleh dikalahkan,” katanya.

Sanusi berkata, selama ini, walaupun tidak menguasai ekonomi, kuasa politik yang ada pada orang Melayu membolehkan mereka meningkatkan taraf bangsa itu dalam bidang pendidikan dan ekonomi.
Namun, katanya, kuasa politik orang Melayu kini sudah goyah ekoran kegagalan UMNO dan BN mendapat majoriti dua pertiga dalam Parlimen sejak 2008.

Menurut beliau, untuk kembali bangkit menjadi bangsa yang berjaya dan bermaruah, orang Melayu perlu mempraktikkan lima nilai Islam dalam kehidupan mereka iaitu amanah, berani, disiplin, rajin dan setia.

“Nilai-nilai tersebut terkandung dalam semangat Bushido yang menjadi kunci kejayaan Jepun, begitu juga dengan Korea Selatan dengan semangat Hwarang,” katanya.

Tiada ulasan: