Rabu, 12 Februari 2014

RM1.5 bilion manfaat migrasi bekalan air di Kelantan

MOHD NOR YAHYA 


PASIR MAS: Kelantan dijangka mendapat manfaat sehingga RM1.5 bilion bagi membangunkan prasarana bekalan air hasil migrasi pengurusan bekalan air dengan Perbadanan Aset Air Berhad (PAAB).

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat, Datuk Hanifa Ahmad berkata, PAAB difahamkan akan memperuntuk dana tersebut bagi meningkatkan bekalan air bersih di Kelantan.

“Kita agak ketinggalan lebih 10 tahun kerana tidak mendapat sebarang dana bagi membangunkan projek bekalan air.

“Bukan disebabkan kerajaan negeri gagal mengurus bekalan air, sebaliknya dana yang tidak disalurkan kerajaan pusat dalam tempoh begitu lama,” katanya pada Kempen Pemasangan Paip Bekalan Air Bersih Luar Bandar di Loji Rawatan Air Kelar dekat sini hari ini.

Hadir sama anggota-anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Nassuruddin Daud dan Dr Ramli Mamat, Adun Kelaboran, Mohamed Zaki Ibrahim, wakil-wakil rakyat, Penyelia Dun dan penghulu.

Kelantan hanya mendapat pinjaman mudah daripada kerajaan pusat sebanyak RM600 juta pada 2000. Sejak 1990 sehingga 2000 kerajaan negeri terpaksa mencari dana sendiri.

Malah pada 1990 peruntukan bekalan air Kelantan utara yang diluluskan kerajaan pusat ditarik balik selepas Barisan Nasional bukan lagi mentadbir Kelantan.

Hanifa juga berkata, Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) kini sedang meningkatkan liputan bekalan air bersih kepada rakyat di seluruh jajahan.

Katanya, tahun ini kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM3.2 juta bagi membolehkan lebih ramai penduduk menikmati bekalan air bersih.

“Sehingga sekarang dianggar sebanyak 20,000 rumah terbabit dengan pemasangan paip projek bekalan air luar bandar melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

“Bagaimanapun sehingga kini hanya kira-kira 5,000 pemohonan baru diterima AKSB bagi mendapat bekalan air bersih,” katanya.

Menurutnya juga kempen tersebut hanya menawarkan bayaran RM50 bagi pemasangan paip ke rumah pengguna.

Pengurus Besar AKSB, Ir Mohd Hanapi Mahmood berkata, kempen tersebut bertujuan meningkatkan lagi bilangan pengguna bagi membolehkan mereka menikmati bekalan air bersih.

Tiada ulasan: