Sabtu, 15 Februari 2014

Potensi cerah Pakatan Sarawak selepas Taib?







DETIK DAILY


Pengunduran Tan Sri Taib Mahmud daripada kedudukan sebagai Ketua Menteri Sarawak yang dipegangnya selama 33 tahun mencetuskan isu politik dalaman negeri ini, berhubung penggantinya dan pengaruh Taib selepas ini. Kedudukan Taib yang sangat lama sebagai ketua menteri mengukuhkan kedudukan beliau dan sekutu politik dan ekonominya, pada satu tahap yang hanya dapat diperhatikan di Sarawak.


 Pemimpin selepas Taib dijangka tidak akan dapat mengatasi malah menyaingi pengaruhnya sebagai ketua menteri, dan kemungkinan akan terus dibayangi Taib dalam politik dan pentadbiran negeri Sarawak.

Malah, mungkin ada yang melihat kepentingan Taib masih kuat dalam usaha memastikan kestabilan di Sarawak, dan untuk mengelakkan persaingan kuasa yang boleh menjejaskan PBB dan BN.

Pengaruh yang telah lama dibina bermakna penguasaan Taib dan sekutu yang kukuh dalam pelbagai ruang, dalam tempoh yang suasana politiknya jauh berbeza dengan sekarang dari sudut penguasaan parti pemerintah dominan.

Hari ini, selain pengganti yang tidak dapat menyamai kepimpinan Taib, suasana politik yang baharu menyaksikan parti-parti pembangkang termasuk daripada Pakatan Rakyat semakin mengukuhkan kedudukan di negeri ini.

Dalam Pilihan Raya Negeri Ke- 10 pada April 2011, BN memenangi 55 kerusi Dun, daripada 71 kerusi, merosot daripada 62 kerusi dalam pilihan raya negeri sebelum itu.

Pilihan Raya Umum Ke-13 pada Mac tahun lalu pula menyaksikan BN menang 25 kerusi Parlimen daripada 31 kerusi, berbanding 30 dimenangi pada PRU2008.

Ini bermakna landskap politik Sarawak telah banyak berubah, malah KeADILan pada 2011 berkempen dengan menjanjikan pelantikan pemimpin parti itu, Baru Bian sebagai ketua menteri jika Pakatan menguasai Sarawak.

Pada tahun-tahun akhir Taib sebagai ketua menteri, kempen untuk menjatuhkan beliau juga berjalan dengan rancak dari dalam dan luar negara, meningkatkan lagi tekanan ke atas Taib dan negeri kubu kuat BN itu.

Tetapi selepas dua pilihan raya itu, Sarawak kekal sebagai kubu kuat BN walaupun dengan kekuatan yang merosot, dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu, PBB, yang bersifat Bumiputera Muslim kekal dominan dalam BN di Sarawak, dan bersama dengan Umno menjadikan BN hanya dikuasai parti Melayu.

Pilihan raya 2011 mencatat rekod terbaharu Taib berjaya mempertahankan penguasaan BN di Sarawak, pada masa banyak pihak bercakap tentang keperluan peralihan kepimpinan negeri Sarawak.

Perkembangan itu menunjukkan satu perubahan besar yang berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini; peningkatan kepentingan Sarawak dalam politik nasional, terutama kepada partiparti politik dominan yang asas kuasanya terletak di Semenanjung.

Menyedari kekuatan undi di Sarawak, Pakatan menjadikan negeri ini sebagai sasaran perubahan besar-besaran untuk mengubah imbangan kuasa BN-Pakatan, terutamanya memandang kan Sarawak memegang 31 kerusi Parlimen.

Sarawak dan juga Sabah mula menjadi perhatian khusus partiparti pembangkang, terutama Pakatan dan parti Kita untuk merebut bahagian lebih besar hasil pilihan raya, dengan tawar-menawar yang semakin seimbang.

Selama ini, Sarawak dan Sabah kelihatan sekadar dipergunakan untuk kepentingan agenda-agenda yang sering tidak sehaluan dan tidak meletakkan kepenti ngan rakyat dua negeri itu sebagai matlamat utama.

Tetapi, berbeza dengan Sabah, Sarawak terus dikuasai PBB sedangkan Sabah menjadi salah satu medan utama Umno dan mempunyai kedudukan istimewa dalam kepimpinan tertinggi parti itu.

Sarawak mahu mengekalkan kepentingannya, dan bukan sekadar menjadi sumber undi mudah kepada BN tanpa pulangan yang sewajarnya.

Perkembangan ini menunjukkan pengaruh PBB yang semakin kritikal kepada BN, yang masih mampu mempertahankan negeri bank undi gabungan parti pemerintah.

Hal ini menjadikan PBB menyedari kekuatannya dan dapat dijangka tidak akan dengan mudah mahu mengorbankan kedudukan dominan ini, kedudukan yang semakin jelas pada masa BN semakin tercabar oleh Pakatan.

Tiada ulasan: