Selasa, 4 Februari 2014

Kristian Sabah bertemu hari ini, tangani cubaan diislamkan

OLEH DESMOND DAVIDSON


Gereja di salah sebuah perkampungan di daerah Pitas, Sabah di mana penduduk Kristian mendakwa mereka diislamkan tanpa kerelaan. Gambar fail.Gereja di salah sebuah perkampungan di daerah Pitas, Sabah di mana penduduk Kristian mendakwa mereka diislamkan tanpa kerelaan. Gambar fail.
























Susulan wujudnya ketegangan agama di Malaysia, kumpulan berkepentingan Kristian di Sabah akan bertemu hari ini bagi menangani isu pengislaman 64 pribumi yang mendakwa ditipu untuk diislamkan bulan lalu.

The Malaysian Insider difahamkan pertemuan dan majlis makan tengah hari berkenaan akan diadakan di Kota Kinabalu dan dipengerusikan Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko), Tan Sri Bernard Dompok.

Upko merupakan sebahagian daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) namun sumber berkata kepada The Malaysian Insider pertemuan berkenaan menjangkaui fahaman politik.

"Kristian daripada kedua-dua pihak bekerjasama melepasi sempadan politik membentuk sekumpulan peguam bagi membantu sahabat Kristian yang dilanda kesusahan," katanya.

Penduduk kampung berkenaan, termasuk kanak-kanak daripada tiga perkampungan - Kampung Layung Maliau, Dowokon dan Sosop - mendakwa mereka dibayar RM100 untuk menukar agama kepada Islam.

Seramai 33 penduduk Kampung Layang Maliau, yang antaranya ditukar agama berkata mereka diberitahu "orang Kuala Lumpur datang ke Pekan Pitas pada malam Tahun Baru untuk memberikan sejumlah bantuan RM800 di dewan orang ramai."

Mereka kemudiannya diarahkan ke masjid berdekatan dan apabila ke sana, mereka diarahkan untuk menyebut perkataan dalam "bahasa asing" selain diambil cap ibu jari.

Laporan polis berhubung perkara berkenaan dibuat seminggu selepas itu.

Dakwaan berkenaan dinafikan pihak berkuasa agama Islam Sabah, dan berkata mereka menjalankan tugas mereka berdasarkan kertas kerja tanpa sebarang paksaan kepada penduduk pribumi Kristian ditukar agama kepada Islam.

Kenyataan rasmi Jabatan Agama Islam Sabah berkata, semua nama penduduk kampung diserahkan sekumpulan umat Islam yang menemui mereka dan berkata penduduk kampung berkenaan berminat untuk menganut Islam.

"Kumpulan Muslim itu menguruskan segalanya. Jabatan agama hanya berada di sana untuk pendaftaran dan penukaran agama," kata pihak berkuasa agama tersebut kepada The Malaysian Insider.

Peguam berkata, usaha menukar agama penganut Kristian kepada Islam bukanlah satu kesalahan di Malaysia.

Pihak berkuasa bagaimanapun boleh menyiasat sekiranya berlaku dakwaan jenayah dan rasuah kerana dakwaan penduduk kampung itu perlu disertakan bukti.

Ketegangan agama meletus apabila Mahkamah Rayuan pada Oktober memutuskan akhbar mingguan Herald dilarang menggunakan perkataan Allah dalam penerbitan mereka.

Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) turut mengeruhkan keadaan dengan merampas sejumlah 300 kitab Bible berbahasa Melayu daripada premis Persatuan Bible Malaysia (BSM) di Damansara termasuk Bible berbahasa Iban.

Kenyataan Paderi Lawrence Andrew bahawa gereja Selangor tetap akan menggunakan kalimah Allah dalam program keagamaan berbahasa Melayu turut mencetuskan ketegangan apabila kumpulan penyokong Umno mengadakan bantahan secara terbuka.

Ia turut mencetuskan insiden gereja di Pulau Pinang dibaling dengan bom “molotov cocktail” minggu lalu.

Penganut Kristian membentuk sejumlah 10% daripada keseluruhan 2.8 juta populasi di negara ini.
Dua pertiga daripada mereka merupakan Bumiputera di Sabah dan Sarawak yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda mereka.

Tiada ulasan: