Sabtu, 15 Februari 2014

Korban ayam

MALAYSIAKINI

 

 
 
 
Bagaimanakah kita menanggapi suatu peristiwa yang bercirikan daya penarik publisiti atau gimik, sehinggakan dapat mencetuskan kontroversi?

Sejauh mana pula benarnya kontroversi itu? Apakah peristiwa itu merupakan kejadian pertama? Adakah ia betul-betul mengejutkan atau benar-benar memeranjatkan?

Saya merujuk kepada suatu acara bantahan gimik publisiti penyembelihan ayam sebagai tindak balas sebuah video satira politik Tahun Baru Cina.

Ia menampilkan ahli parlimen Seputeh, Teresa Kok. Video (kanan) tersebut di siarkan di YouTube.

Sembelihan korban dalam tatacara keagamaan dan adat istiadat kepercayaan telah dilakukan sejak ribuan tahun lamanya.

Namun apakah makna yang cuba dilambangkan dengan isyarat menyembelih ayam anjuran ‘NGO Melayu’ itu?

Apatah lagi kemudiannya darah ayam yang disembelih disimbah ke atas kain rentang yang tercetak gambar-gambar pemimpin berketurunan Cina dalam Pakatan.

Menariknya badan-badan karikatur kartun itu berupa ayam yang berkepala manusia. Manakala ditampakkan kepala itu pula menyerupai Teresa Kok, Lim Kit Siang, Lee Khai Loon.

Buat saya ia suatu pertunjukan yang menggerunkan, jika ia berkeupayaan melangkaui garis sempadan kebebasan berekspresi ataupun menembusi perlindungan hak-hak sivil serta kesedaran sivik, selanjutnya mengundang keganasan dan mudarat, khususnya fizikal terhadap orang lain.

Gimik pemasaran

Lebih-lebih lagi, dengan tawaran menampar pemimpin wanita DAP, Teresa Kok.

Ia contoh suatu tindakan yang dilakukan bukan pihak yang berwenang dan berkuasa, yang bertujuan untuk menggerakkan pihak umum bertindak melakukan tindak kekerasan bagi pihaknya.

Tetapi dalam masa yang sama, kita juga perlu menyeimbangkan perkara ini misalnya dengan seruan NGO ABU kepada orang awam agar menangkap warga Bangladesh yang mengundi pada PRU13.

Dilaporkan ia mengakibatkan ramai orang tidak bersalah, telah disalah sangka sebagai warga asing Bangladesh terpaksa berhadapan tangkapan awam.

Tahap tindakan kreatif, kefahaman daya cipta seni budaya sastera dalam gerakan politik Malaysia, sebenarnya masih sekadar ungkapan perlambangan yang hanyalah sarana kepada suatu kaedah gimik pemasaran, pemberitahuan, daya penarik publisiti (stunt) terhadap isu-isu yang hendak dibawa.

Itulah yang digerakkan Lee Khai Loon, dengan ‘flash mob’ makan kangkung karikatur perdana menteri Najib Razak. Ia hanyalah sekadar seni komunikasi.

Mengimbas kembali, sebelum pilihan raya umum 2008 yang lalu, seawal bulan Januari sekumpulan anak-anak muda telah melakukan suatu tindakan bantahan politik yang sedikit aneh dan lucu.

Kumpulan tersebut menghantar memorandum berupa bantal kepala dan bantal peluk ke Jabatan Perdana Menteri, ditujukan kepada PM pada waktu itu Abdullah Badawi.

Tindakan tersebut bertujuan membantah kepimpinan Abdullah Badawi yang lemah dan punya reputasi suka tidur dalam mesyuarat.

Antara yang terlibat ialah pengarang politik dan penyanyi folk Amin Shah Iskandar atau Black, aktivis politik Cikgu Badrul Hisham, pelukis Poodien dan ramai lagi.

Namun yang lebih menarik lagi dalam aksi tersebut merupakan maklum balas dan tindakan pihak berkuasa, termasuk PM Abdullah sendiri.

Kek untuk Altantuya

Bantal-bantal tersebut diperiksa oleh sekumpulan anggota polis. Setelah beberapa ucapan wakil-wakil, bantahan itu pun berakhir.

Meski perdana menteri pada waktu itu diejek hinakan dalam suatu tindakan gimik politik, tiada tindakan yang dikenakan kepada pihak peserta bantahan.

Bagaimanapun, kemudiannya kumpulan yang sama, yang tersusun menjadi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) pimpinan Cikgu Badrul menerima nasib berbeza, ketika gimik sambutan ulang tahun hari lahir Altantuya.

Pada 6 Mei 2009 SAMM menghantar kek (kanan) hari jadi Altantuya seberat 2kg ke Jabatan Perdana Menteri. Tindakan penarik publisiti tersebut berakhir dengan tangkapan lima orang aktivis SAMM .

Dalam menyampaikan isu-isu politik menggunakan kaedah tindakan daya penarik gimik, saya sebenarnya tertarik dengan cara yang digunakan seorang pemimpin PAS tempatan di Pulau Pinang.

Pemimpin Pas tersebut Mohd Ariff Ibrahim, pada jam 5 petang 15 mei 2009 telah memanjat sepohon pokok berhampiran Esplanade di Georgetown.

Mohd Ariff berjanji akan duduk di atas pokok selama lapan jam sebagai lambang bantahannya terhadap peristiwa rampasan kuasa di Perak.

Timbalan pengerusi biro maklumat PAS kawasan Tanjung yang berusia 37 tahun itu juga turut membawa kertas kadbod bertulis “Bubar DUN Perak Untuk Rakyat”; “Hukum Rimba” dan “Love Democracy”.

Ia berjaya menarik perhatian ramai orang yang lalu-lalang, apabila mereka berhenti melihat pertunjukannya, sambil membaca pesan-pesan politik yang tertulis pada plakad.

8 jam atas pokok

Mohd Arif, turun dari pohon tersebut selepas tengah malam mengakhiri bantahannya selama lapan jam di atas pokok itu.

Baik berbalik kepada gimik sembelih ayam dan ugutan terhadap Teresa, kehadiran pihak berkuasa yang benar-benar berwibawa dan adil begitu amat diperlukan.

Kita boleh membaca sentimen, kemarahan masyarakat Cina dan kesangsian sekelompok kumpulan yang mengaku Melayu itu. Keraguan giat cuba disebar-luaskan pihak yang sedang goyah kekuasaannya.

Keraguan itu hanyalah penerusan suatu dasar lama warisan penjajah ‘pecah dan perintah.’ Ia menjadi benteng ampuh penjajahan kuasa-kuasa kolonial pada suatu zaman dahulu.

Apatah lagi terlalu banyak isu-isu yang perlu ditanggung pemimpin, negara dan rakyat sekarang ini; perjanjian TPPA, pembinaan loji nuklear, liberalisasi pasaran, kenaikan harga barang, cukai GST.

Makanya mengikut fikiran sesetengah pihak yang enggan mengakui peredaran zaman, mereka berpendapat kenapa tidak digunakan ‘dasar pecah dan perintah’ pada hari ini jika ia dapat meneruskan agenda kerakusan kuasa dan rasuah.

Tetapi dalam puisi, “Pemuda dan Gadis Tionghua,” karya Almarhum Usman Awang, kita mendapati sang penyair pada tahun 1961 telah pun bertanya:

“Bukankah, kecurigaan telah terbunuh, saat kita bersapa?”

Kini, pada tahun 2014, soalan itu saya fikir telah pun kita temukan jawapannya pada pesanan di bait akhir puisi Tongkat Warrant (nama pena Usman Awang):

“Lihatlah makam nenek moyang sebagai sejarah terpahat
Darahnya dalam darahmu segar di kulit kuning langsat
Esok, ketika tahun baru akan kukirimkan sebuah angpau
Dalamnya sebuah cinta dari jantung tanah dan pulau.”


RAHMAT HARON seniman outsider.

Tiada ulasan: