Ahad, 2 Februari 2014

Bagaimana kalau Pakatan pinjam PAS di Selangor?




Oleh Subky Latif


Apakah perbezaan pendekatan dua pemimpin kanan PKR di Selangor antara Azmin Ali, ketua parti dan Tan Sri Khalid Ibrahim, ketua kerajaan tidak dapat diredakan kalau pun tidak diselesaikan sama sekali?

Saya tidak tahu bagaimana hendak mengatasi perbezaan itu. Mengikut kata almarhum Ustaz Hassan Shukri semasa hidupnya, perbezaan peribadi selalunya diatasi dengan salah seorang meninggal dunia. Saya tidak mahu salah seorang daripadanya mati dalam waktu yang terdekat.

Sekalipun perbezaan yang ada tidak sampai meruntuhkan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di Selangor tetapi penyokong kerajaan di luar kerajaan payah hendak berdepan orang ramai termasuk hendak meredakan kekeliruan penyokong parti masing-masing.

Dalam pergolakan yang mungkin tidak besar tetapi tidak juga kecil, sekutu PKR iaitu PAS dan DAP tidak ada apa-apa masalah muafakat kerajaan yang ada. Kalau ada masalah pun boleh dirujuk kepada pimpinan PR. Jika hal ini berlanjutan, payah bagi PR untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Tidak saja ia mengelirukan orang di negeri Selangor, bahkan ia menyukarkan PR di seluruh negara untuk mengaut momentum baru bagi mengambil Putrajaya.

Sedikit sebanyak ia mengganggu tumpuan PR untuk menghadapi isu kepincangan BN dalam isu kos sara hidup melambung.

Jika PKR payah meredakan pergolakan itu, mungkin Anwar Ibrahim sendiri mengambil pentadbiran Selangor atau apa kata kalau PKR pinjamkan pentadbiran negeri Selangor itu kepada PAS? Tidak bijak bagi PAS untuk mengambil alih kuasa daripada kerajaan yang sama ditegakkannya sekarang.
Tetapi tentulah PAS dan DAP tidak seronok dengan perkembangan yang berlarutan itu.

Daripada kedua-duanya memendam rasa dan terbuku di hati, apakah salahnya PKR berundur bagi laluan kepada PAS bagi meneruskan suasana dan pentadbiran yang baik sekarang?

Bukan hendak kuasa tetapi hendak meredakan keadaan supaya rakyat senang dan pegawai kerajaan pun selesa menjalankan tugas.

Mungkin Solihin Mohyi atau Iskandar Samad menjadi menteri besar yang baru bagi meneruskan pentadbiran sudah disudah dimantapkan oleh Tan Sri Khalid itu.

Kedua-dua Tan Sri Khalid dan Azmin Ali diperlukan di Selangor. Tan Sri Khalid boleh dikekalkan sebagai penasihat ekonomi dan pentadbiran kerajaan yang bergaji tetap, berpejabat dan ada kakitangan khas.

Kalau Anwar Ibrahim kini menjadi penasihat ekonomi tidak bergaji, maka kedua-dua Datuk Seri Anwar dan Tan Sri Khalid boleh diberi gaji supaya mereka menggunakan kebolehan dan kemahiran masing-masing untuk meningkatkan lagi kemajuan negeri.

Kedua-duanya boleh berkeliling dunia untuk menarik pelaburan. Kalau tidak ambil peeruntukan baru daripada wang kerajaan tidak mengapa untuk gaji mereka tetapi potongan kenaikan elaun untuk MB, Exco dan Speaker mungkin dapat menampung keperluan mereka.

Kecekapan Azmin juga boleh digunakan bagi membantu menteri besar baru daripada PAS untuk  membangunkan lagi Selangor. Mana yang Azmin rasa payah untuk disumbangkan dulu, munkin tidak banyak masalah untuk disalurkan.

Bila saya cadangkan PR boleh meminjam khidmat PAS bagi meneruskan kelangsungan pentadbiran/kerajaan PR negeri Selangor tidak pula bererti merebut peluang sama buat DAP.

Mungkin PAS tidak banyak kelebihan berbanding DAP tetapi keadaan yang ada payah bagi DAP untuk mengemukakan calon menteri besarnya kerana suasana politik perkauman dan prejudis yang ada terutama di kalangan penyokong BN, maka DAP tidak mahu terlibat dalam suasana bising yang diada-adakan.

DAP adalah selesa dengan keadaan yang ada, maka ia tidak sedia mencari susah. Dan DAPpun tidak ada Adun Melayu. Tidak semestikan ia satu lagi hak istimewa orang Melayu, masyarakat belum bersedia menerima MB bukan Melayu.

Dengan apa yang Datuk Seri Nizar Jamaluddin buat di Perak dulu, DAP lagi fobia dengan pemimpin PAS untuk memimpin kerajaan negeri.

Cetusan saya ini terpakai kalau PKR tidak dapat meredakan masalahnya. –

Tiada ulasan: