Jumaat, 14 Februari 2014

Anwar sah bertanding presiden PKR, kerusi timbalan dijangka panas

THE MALAYSIAN INSIDER


Datuk Saifuddin Nasution Ismail sahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertanding jawatan presiden PKR. Gambar fail.Datuk Saifuddin Nasution Ismail sahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertanding jawatan presiden PKR. Gambar fail.  






























Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertanding jawatan presiden PKR dalam pemilihan parti itu bermula 25 April dan berakhir pada 11 Mei ini.

"Ya, Anwar akan bertanding jawatan itu," kata Saifuddin kepada The Malaysian Insider mengulas bayangan yang diberikan Anwar sebelum ini, beliau akan bertanding jawatan yang kini dipegang oleh isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail itu.

Dalam wawancaranya dengan The Ant Daily baru-baru ini, Anwar berkata, sejak setahun lalu isterinya menyebut kepadanya beliau mahu menumpukan masanya bersama cucu dan datuk kepada cucunya (Anwar).

Sebelum ini, khabar angin bertiup kencang Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali akan bertanding jawatan presiden PKR bagi menentang Dr Wan Azizah.

Namun dengan keputusan Anwar ini bermakna Azmin akan berdepan dengan Anwar sendiri jika beliau masih berniat mencuba kerusi presiden PKR itu.

Dalam pada itu, The Malaysian Insider difahamkan, seorang pemimpin kanan PKR akan mencabar Azmin untuk kerusi timbalan presiden dalam pemilihan kali ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PKR, Datuk Johari Abdul mengumumkan, penamaan calon di peringkat pusat akan diadakan pada 29 Mac.

Bagi peringkat cabang pula ia akan diadakan mengikut zon bermula 4 hingga 13 April ini.

"Keputusan penuh barisan kepimpinan baru PKR selewat-lewatnya akan diketahui pada 13 Mei ini selepas pengundian di seluruh negara selesai pada 11 Mei," kata Johari pada sidang medianya dua hari lalu.

Johari berkata, pihaknya akan memastikan keputusan penuh dapat diumumkan secepat yang mungkin bagi mengelakkan sebarang kekeliruan timbul.

Katanya, tarikh pengundian akan berlangsung selama tiga minggu dengan setiap ahli dibenarkan mengundi mengikut syarat yang ditetapkan iaitu bermula pada 25 April dan berakhir pada 11 Mei.
"Pemilihan kali ini melibatkan semua anggota iaitu seorang anggota untuk satu undi.

"Syarat minima ahli yang ingin mengundi mesti menganggotai parti sekurang-kurang 12 bulan atau setahun," katanya.

Beliau berkata,  anggota yang melanggar tatatertib seperti terlibat politik wang, menawarkan hadiah atau janji dan disahkan kesalahan tersebut akan diambil tindakan.

Tiada ulasan: