Isnin, 6 Januari 2014

Wira PERKASA: Marina cari publisiti murah?

MALAYSIAKINI




Sayap pemuda kumpulan pendesak Melayu PERKASA mempersoalkan kehadiran anak bekas perdana menteri Datuk Marina Mahathir ke satu perhimpunan di gereja di Klang bagi mempertahankan rumah ibadat tersebut.

Ketua Wira PERKASA Irwan Fahmi Ideris berkata Marina sepatutnya mengambil pendirian bertentangan untuk menghalang golongan Kristian menggunakan kalimah “Allah”.

“Apa motif beliau bersama sama individu lain menyertai perhimpunan bagi menunjukkan solidariti bersama penganut Kristian di perkarangan sebuah gereja di Klang semalam?

“Apakah beliau mahu mencetuskan satu lagi kontroversi atau sengaja mahu mencari publisiti murahan dan dalam masa yang sama mengeluarkan kenyataan yang mengecam tindakan JAIS (Jabatan Agama Islam Selangor).

“Sebagai seorang Muslim beliau sepatutnya berada bersama sama Muslimin dan Muslimat lain dalam mempertahankan kalimah Allah agar tidak digunakan oleh kristian,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut mempersoalkan kewibawaan aktivis sosial itu dengan menggelar anak bekas perdana menteri berkenaan dengan nama “pejuang lesbian, gay, biseksual dan transeksual”.

Irwan turut mengaitkan Marina dengan NGO Sisters in Islam, yang digelarnya sebagai pergerakan Islam liberal.

“Sebagai seorang muslim dan anak kepada mantan perdana menteri yang banyak memperjuangkan Islam dan membela nasib bangsa, tindakan beliau itu telah menimbulkan seribu satu persoalan pada rakyat Malaysia khususnya yang beragama Islam

“Di mana letak akidah beliau dan adakah beliau bersetuju dengan penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam?,” soalnya.

Tiada ulasan: