Jumaat, 3 Januari 2014

Wira Perkasa: Ken Liang jangan rasis!

 
Dalam masa 15 tahun ini apa yang Gerakan dah buat. Kata ada beratus ribu ahli tapi apa yang mereka buat, soal Irwan Fahmi Ideris.




PETALING JAYA: Wirawan Perkasa mengkritik kenyataan Ketua Pemuda Gerakan  Tan Keng Liang yang kecewa melihat anak muda Melayu ‘cukup mudah’ diperalatkan pihak tertentu bagi menjayakan perhimpunan haram.

Menurut ketuanya Irwan Fahmi Ideris, kenyataan Keng Liang itu berbaur rasis dan dilihat seperti cuba menyatakan bahawa anak Melayu sudah tidak bersama Barisan Nasional (BN) lagi.

“Dalam Pilihan Raya Umum-13 (PRU13) dahulu BN mencatatkan sejarah paling kurang mendapat undi orang Cina apabila hanya 3% daripada keseluruhan 87% orang Cina yang keluar mengundi memilih BN.

“Dalam masa 15 tahun ini apa yang Gerakan dah buat. Kata ada beratus ribu ahli tapi apa yang mereka buat,” soalnya lagi.

Menurutnya lagi, ramai anak muda Melayu turun ke jalan raya kerana pembahagian kek ekonomi yang tidak sama rata di Malaysia.

“Memang kita lihat khususnya dalam perhimpunan Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun) lalu lebih ramai anak Muda Melayu berbanding Cina.

“Ini kerana kek ekonomi itu lebih dinikmati oleh kaum Tiong Hwa berbanding Melayu sebab itu anak muda mereka lebih senang,” tegas beliau.

Irwan turut menggesa Gerakan untuk mengembalikan kegemilangan parti itu dari bercakap mengenai bangsa lain.

“Gerakan perlekeh orang Melayu, sepatutnya dia lebih cakap mengenai bangsa dia. Yang rasa tertekan ni orang Melayu,” katanya lagi sambil menambah Gerakan boleh keluar dari BN kerana dilihat tidak membantu kerajaan.

Beliau bagaimanapun tidak bersetuju dengan memilih jalan raya untuk menyuarakan pendapat.
“Perkasa sendiri ada desak kerajaan tetapi dengan menggunakan saluran yang betul sebab berdemo ini bertentangan dengan budaya kita.

“Kita sedar anak muda menghadapi pelbagai isu seperti graduan yang tidak mendapat pekerjaan tapi ada salurannya untuk bersuara. Adakah saluran itu sudah digunakan sebelum memilih untuk turun ke jalan raya,” soal beliau lagi.

Dalam masa yang sama, Irwan turut mempertahankan fatwa yang dikeluarkan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria yang melabel peserta himpunan Turun sebagai ‘bugha’ ataupun pemberontak dan halal darah mereka.

“Ahli-ahli politik tolong hormat mufti, beliau bukan ahli politik dan keluarkan fatwa berdasarkan Al-Quran dan hadis,” kata Irwan.

Irwan turut menyeru rakyat Selangor untuk menghormati titah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menyatakan perkataan Allah milik ekslusif orang Islam.

Tiada ulasan: