Khamis, 23 Januari 2014

Tian Chua Dihukum Penjara Sebulan di bawah Perintah Kawasan Larangan

Rakyat News
 
 Radhi Razak


KUALA LUMPUR  - Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua hari ini dihukum penjara sebulan dan denda RM1,000 setelah didapati bersalah atas tuduhan melanggar arahan di bawah Perintah Kawasan Larangan, dua tahun lalu.

Hakim Mahmud Abdullah yang membuat keputusan itu di Mahkamah Seksyen di sini mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan peguam bela, Eric Paulsen untuk menangguhkan hukuman penjara.

Tian Chua atau nama sebenarnya Chua Tian Chang, 51, didakwa tidak mematuhi arahan Deputi Superintendan A Rajakopal, untuk beredar dari kawasan yang diisytiharkan sebagai kawasan larangan mengikut Perintah Kawasan-kawasan Larangan 1975.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amirah Mohamed Yusoff, manakala peguam Eric Paulsen mewakili Tian Chua.

Mengikut laporan, Tian Chua dikatakan melakukan kesalahan itu di Pusat Latihan Polis Diraja Malaysia (PULAPOL), Jalan Semarak, jam 2.39 pagi, pada 29 April 2012 dan didakwa mengikut Seksyen 4(2) Akta Kawasan Larangan 1959 (Akta 298), yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Seramai sembilan saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan manakala pembelaan mengemukakan dua saksi.

Tiada ulasan: