Ahad, 26 Januari 2014

Tambang bas naik, SPAD jangan tuding jari pada ibu bapa

Oleh: Manivanan Gowin


Beban kenaikan tambang bas sekolah yang ditanggung oleh ibu bapa sejak sekian lama, menjadi semakin berat ekoran kenyataan dangkal dari Tan Sri Syed Hamid Albar, Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang mendakwa bahawa kenaikan tambang bas sekolah itu berpunca daripada kesanggupan ibu bapa membayar harga kenaikan tersebut.

Sebelum ini Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (PPBSM) tetap akan menaikkan surcaj tambang bas sekolah bermula Januari ini sebanyak 40%, walaupun SPAD masih tidak membuat keputusan tentang tambang baru bas sekolah.

bas sekolahAmat mengecewakan apabila Tan Sri Syed Hamid Albar membuat alasan semata-mata untuk melepaskan diri daripada perkara berbangkit tersebut.

Tan Sri Syed Hamid Albar turut menyatakan sebab SPAD tidak dapat mengambil tindakan terhadap pengusaha bas sekolah atas kenaikan tambang awal sebelum keputusan dibuat, sebagai kegagalan ibu bapa melaporkan kepada SPAD tentang hal yang berlaku. Maka atas sebab demikian, SPAD terpaksa menutup sebelah mata atas isu ini.

Jika Ibu Bapa Enggan Bayar, Adakah Kerajaan Sediakan Pengangkutan Alternatif Buat Murid-Murid?

Situasi yang berlaku tidaklah serumit seperti yang didakwa Pengerusi SPAD. Sekiranya ibu bapa ini enggan menuruti dan membayar jumlah kenaikan tambang bas sekolah sebanyak 40% ini, adakah kerajaan akan menyediakan pelan pengangkutan alternative buat murid-murid sekolah ini?

Persoalan ini yang perlu dilontarkan kepada Pengerusi SPAD dan seterusnya Kementerian Pengangkutan dan Datuk Seri Hishammudin Tun Hussein.

Sikap lepas tangan dan tutup sebelah mata SPAD dan kerajaan berkaitan masalah bebanan rakyat ini bukanlah perkara baru. Mereka lebih berminat untuk mengatasi kerugian pengusaha bas sekolah, berbanding mengambil kira bebanan yang terpaksa ditanggung oleh ibu bapa yang rata-ratanya berpendapatan rendah dan sederhana.

manivanan gowinSPAD hanya mampu mengeluarkan kenyataan menyalahkan ratusan ribu ibu bapa berbanding menguatkuasakan larangan kenaikan tambang bas sekolah sebelum keputusan berbuat demikian dipersetujui oleh SPAD sendiri.

Maknanya Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (PPBSM) ini pada bila-bila masa boleh menaikkan tambang bas sekolah tanpa perlu merujuk kepada keputusan SPAD.

Jika isunya adalah kenaikan harga diesel di pasaran, bukankah kerajaan harus mengambil langkah meningkatkan subsidi bagi menurunkan harga minyak diesel agar bebanan itu tidak ditanggung oleh ibu bapa?

Ibu bapa tidak mempunyai pilihan lain untuk menghantar anak-anak ke sekolah, atas faktor jarak dan juga kebanyakkan ibu bapa kini bekerja bagi menampung perbelanjaan bulanan.

SPAD Seharusnya Bertegas Dengan Pengusaha, Bukan Salahkan Ibu Bapa.
Menyedari setiap warganegara berhak mendapat yang terbaik dalam negara ini, m
ana-mana pihak samada pengusaha bas sekolah dan juga ibu bapa masing-masing tidak seharusnya menanggung beban atas salah tadbir ekonomi yang dijana oleh kerajaan.

Desakan tentang tambang bas sekolah ini tidak berniat untuk membiarkan pengusaha bas sekolah menanggung kerugian atas kenaikan kos operasi seperti yang mereka dakwa, tetapi sebagai mengambil kira juga tekanan dan beban ibu bapa dalam isu ini.

Ibu bapa pula pastilah tidak mahu anak-anak mereka mengalami masalah dengan pengangkutan bas sekolah yang lebih selamat berbanding membiarkan anak-anak berjalan kaki atau mengayuh basikal ke sekolah.

Atas tekanan itu, ibu bapa terpaksa menutup mata dan membayar kenaikan tambang bas sekolah dan itu tidak boleh diambil kira sebagai satu bentuk persetujuan oleh Tan Sri Syed Hamid Albar.

SPAD seharusnya bertindak mengikut common sense, dan bukan Zero Logical Sense serta peka dengan isu yang berkait rapat dengan matlamat penubuhannya.

Alasan tidak menerima aduan dan seolah-olah ibu bapa bersetuju dengan kenaikan tambang adalah mengolah persetujuan ramai bahawa perkara ini bukan masalah. SPAD harus segera bertindak ketika menyedari masalah dan bukannya menunggu rungutan atau aduan.

Kerana itu yang harus ditegaskan adalah ibu bapa tidak wajar dipersalahkan kerana ‘terpaksa’ membayar tambang bas sekolah yang tinggi.

SPAD dan Kementerian Pengangkutan harus mencari formula terbaik bagi mengelakkan kerugian pada pengusaha, dan juga tidak menambah beban pada ibu bapa yang sedia terbeban dengan ekonomi semasa.

* Manivanan Gowin adalah Ahli Parlimen Kapar

Tiada ulasan: