Khamis, 9 Januari 2014

'Takkanlah Ku Nan tak tahu Hard Rock Cafe macam mana'



'Takkanlah Ku Nan tak tahu Hard Rock Cafe macam mana'
 

ANIS NAZRI 


PUTRAJAYA: Kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor bahawa kerajaan akan membenarkan kewujudan kelab hiburan Hard Rock Cafe di Putrajaya jika beropersi secara Islamik hanya untuk meredakan kemarahan orang ramai.

Kenyataan itu juga dianggap sekadar untuk menutup kesilapan beliau dengan kenyataannya sebelum ini yang akan mempertimbangkan permohonan Hard Rock Cafe di pusat pentadbiran negara itu.

 "Takkanlah Tengku Adnan tak tahu macamana Hard Rock Cafe sehinggakan mahu menetapkan syarat tiada sebarang penjualan minuman keras, serta hanya menyediakan hiburan versi nasyid.

"Beliau sebenarnya saja mengatakan demikian bagi meredakan kemarahan orang ramai dan menutup kesilapan beliau ekoran kenyataannya sebelum ini," tegas Yang Di Pertua PAS (YDP) Putrajaya, Kamaruzzaman Mohamad.

Ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini, Kamaruzzaman berkata pihaknya akan menentang sebarang usaha untuk menubuhkan Hard Rock Cafe di pusat pentadbiran negara itu yang dianggapnya tidak perlu.

Bagaimanapun, Pengerusi Perbadanan Putrajaya, Tan Sri Aseh Che Mat, sebelum ini menyatakan tiada sebarang permohonan yang diterima perbadanan daripada pihak Hard Rock Cafe untuk mewujudkan kelab hiburan tersebut.

Justeru, Kamaruzzaman berkata pihaknya menyambut baik kenyataan tersebut dan mengharapkan tiada sebarang permohonan untuk tujuan sedemikian.

"Kami harap biarlah tiada permohonan seperti itu kerana tidak nampak sebarang keperluan untuk Putrajaya ini untuk sebuah kelab hiburan begitu. Jika selepas ini ada permohonan dan akan dipertimbangkan, kami di Putrajaya akan menentang usaha tersebut," tegas beliau.

Sebelum ini, Tengku Adnan yang juga Ahli Parlimen Putrajaya mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan akan membenarkan Hard Rock Cafe membuka cawangan di pusat pentadbiran negara itu jika beroperasi secara Islamik dan tidak melanggar garis panduan Perbadanan Putrajaya.

Tiada ulasan: