PETALING JAYA: Pihak berkuasa Sweden akan menemuduga keluarga Islam Malaysia yang akan menjadi sebagai ibu bapa angkat kepada empat anak pasangan yang masih direman.
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, Wisma Putra menerusi Kedutaan Malaysia di Sweden telah menyerahkan cadangan beberapa nama dan pihak berkuasa di negara itu akan memutuskannya selepas menemuduga bakal ibu bapa angkat kepada empat beradik berkenaan tidak lama lagi.
"Kita sudah pun menghantar beberapa nama yang dicadangkan sebagai ibu bapa angkat dan pihak berkuasa akan menemuduga pasangan yang merupakan rakyat Malaysia beragama Islam.
"Kita juga ada bertanyakan kepada mereka (pihak berkuasa) untuk mempertimbangkan permintaan saudara-mara kanak-kanak itu untuk mereka pulang ke Malaysia sementara kes ibu bapa mereka sedang diselesaikan.
Bagaimanapun, walaupun pihak berkuasa bersetuju, kepulangan mereka tidak dapat dilakukan dengan segera kerana kesemua beradik itu perlu ditemubual bagi membantu siasatan," katanya kepada The Star.
Azizul Raheem Awalludin, seorang pegawai Tourism Malaysia di Stockholm dan Shalwati Norshal, guru yang bercuti tanpa gaji, ditahan pada 18 Disember lalu dan tahanan reman mereka dilanjutkan sehingga 30 Januari.
Pasangan itu ditahan untuk membantu siasatan kerana didakwa memukul tangan seorang daripada anak mereka yang tidak bersolat.
Anifah berkata, Wisma Putra telah melakukan apa yang diperlukan, termasuk mengeluarkan mesej diplomatik kepada Sweden berhubung perkara tersebut, manakala wakil rasmi dibuat oleh Duta Malaysia ke Sweden kepada pihak berkuasa yang berkaitan di negara itu.
"Kita tahu rakyat kita begitu prihatin terhadap kebajikan keluarga ini dan kesemua beradik berkenaan tetapi mereka tidak sepatutnya mengikut perasaan. Sebarang protes yang dilakukan tidak akan membuatkan kerajaan mengubah undang-undangnya," tambahnya.
Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) menyerahkan memorandum kepada Kedutaan Sweden di sini bagi menyuarakan kebimbangan mereka terhadap empat beradik itu yang berada di bawah penjagaan ibu bapa angkat yang bukan beragama Islam, dan penahanan pasangan rakyat Malaysia tersebut.
Setiausaha akhbar Anifah, Datin Nirvana Jalil Ghani berkata, Wisma Putra telah pun berusaha untuk membantu membebaskan pasangan itu sejak awal lagi kes itu berlaku.
Bagi mengulas kenyataan Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil, Nirvana berkata, para pegawai Wisma Putra telah pun memberi bantuan kepada pasangan raktyat Malysia itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan