Selasa, 21 Januari 2014

Shafee: Rayuan tolak permohonan kedua Anwar 28 Jan

HARAKAHDAILY


PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini menetapkan 28 Jan untuk mendengar rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung penolakan Mahkamah Rayuan terhadap permohonan keduanya bagi membatalkan kelayakan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk tampil sebagai ketua pendakwa dalam rayuan pendakwa terhadap pembebasannya (Anwar) dari tuduhan liwat.

Muhammad Shafee berkata beliau menerima notis dari pejabat pendaftar Mahkamah Persekutuan minggu lepas memberitahunya tentang tarikh itu.

Pada 20 Dis tahun lepas, panel tiga anggota Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Aziah Ali, sebulat suara menolak permohonan Anwar supaya dibatalkan kelayakan Muhammad Shafee sebagai ketua pendakwa dan memutuskan bahawa pelantikannya mengikut undang-undang.

Anwar, 66, memfail permohonan kedua untuk tujuan yang sama dengan menggunakan maklumat dari akuan bersumpah bekas ketua CID Kuala Lumpur Datuk Mat Zain Ibrahim bagi menyokong permohonan itu.

Permohonan pertamanya ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 17 Sept tahun lepas, berikutan itu beliau merayu di Mahkamah Persekutuan, tetapi juga ditolak.     

Pada 9 Jan tahun lepas, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Anwar atas tuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, 26, di sebuah unit kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara antara 3.10 ptg dan 4.30 ptg pada 26 Jun, 2008.

Muhammad Shafee, seorang peguam kanan, dilantik oleh Peguam Negara dengan kuasa di bawah Seksyen 376 (3) Kanun Prosedur Jenayah (CPC) dan Artikel 145 (3) Perlembagaan Persekutuan bagi mengendali rayuan di Mahkamah Rayuan. – Bernama

Tiada ulasan: