Sabtu, 11 Januari 2014

Sekali lagi Zahid Hamidi, Utusan disaman fitnah

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua Kiam Wee (gambar) memfailkan saman fitnah terhadap Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Kumpulan Utusan Melayu (M) Berhad dan satu pihak lagi berhubung penerbitan sebuah artikel yang disiarkan akhbar Utusan.
  
Dalam saman itu, Pua menamakan Ahmad Zahid, yang ketika itu Menteri Pertahanan, Kumpulan Utusan Melayu dan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu Datuk Abdul Aziz Ishak sebagai defendan pertama hingga ketiga.
  
Beliau memfailkan saman itu di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini melalui Tetuan Thomas Philip pada 9 Dis tahun lepas dan media memperoleh salinan pernyataan tuntutan itu semalam ketika kes disebut di dalam kamar di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Norliza Hussin.
  
Peguam Choo Shi Jin, yang mewakili Kumpulan Utusan Melayu, memberitahu pemberita bahawa Norliza menetapkan 11 Feb untuk pengurusan kes sementara menunggu kesemua defendan memfailkan pernyataan pembelaan mereka.
  
Dalam pernyataan tuntutannya, Pua mendakwa Ahmad Zahid menyebabkan kata-kata fitnah dalam artikel bertajuk 'Tony Pernah Ditahan di Singapura' itu diterbitkan, dan defendan kedua dan ketiga gagal untuk mengambil langkah menyiasat terlebih dahulu sebelum menerbitkannya pada 18 Mac 2011.

Beliau turut mendakwa artikel itu memberi gambaran seoalah-olah bahawa beliau pernah ditangkap oleh polis di Singapura kerana melakukan kesalahan jenayah dan pernah dituduh di mahkamah.
  
Pua yang juga Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, mendakwa ekoran artikel fitnah itu, reputasi dan kredibilitinya sebagai anggota Parlimen telah terjejas dan kesemua pihak gagal menarik balik artikel berkenaan walaupun notis tuntutan telah dihantar pada 17 Jun tahun lepas.
  
Beliau menuntut satu perintah injunksi dikeluarkan bagi menghalang kesemua defendan menerbitkan kata-kata fitnah yang sama terhadapnya selain menuntut ganti rugi am, ganti rugi tambahan, faedah, kos atau relif lain yang difikirkan sesuai. - Bernama

Tiada ulasan: