Khamis, 9 Januari 2014

Saman fitnah Nurul Izzah terhadap Utusan 14 April ini

HARAKAHDAILY


KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 14 April bagi perbicaraan kes saman fitnah Anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar terhadap Ketua Pengarang Utusan Malaysia Datuk Aziz Ishak dan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad.
  
Hakim Datuk Hue Siew Kheng menetapkan tarikh itu di dalam kamar dengan dihadiri peguam Azhana Mohd Khairudin yang mewakili Nurul Izzah dan peguam Raihanah Ariffin bagi pihak Utusan.
  
Azhana ketika ditemui pemberita memberitahu mahkamah menetapkan  14, 15 dan 18 April untuk perbicaraan kes itu.
  
Beliau berkata kes itu sepatutnya dibicarakan selama tiga hari bermula 22 Jan ini namun ditangguhkan kerana peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Utusan terlibat dalam petisyen pilihan raya pada tarikh berkenaan.
  
Pada 23 Nov 2012, Nurul Izzah memfailkan saman itu kerana mendakwa Aziz dan Utusan memutarbelitkan kenyataannya dalam forum mengenai kebebasan beragama untuk orang Melayu.
  
Menerusi pernyataan tuntutannya, Nurul Izzah yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat mendakwa empat artikel yang mengandungi perkataan fitnah terhadapnya diterbitkan akhbar berkenaan pada 6 dan 7 Nov 2012.
  
Beliau memohon perintah supaya kedua-dua defendan memohon maaf dan menarik balik tuduhan fitnah ke atasnya dalam masa 24 jam daripada tarikh perintah itu, selain menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan dan ganti rugi melampau dan kos difikirkan sesuai oleh mahkamah. - Bernama

Tiada ulasan: