Ahad, 26 Januari 2014

Rampasan Bible: Jais beri laporan selepas Tahun Baru Cina, kata Abdul Khalid

THE MALAYSIAN INSIDER

 


























Laporan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengenai hasil siasatan rampasan sejumlah naskah Bible berbahasa Melayu dalam serbuan ke atas Persatuan Bible Malaysia di Damansara 2 Januari lepas dijangka siap seminggu selepas sambutan Tahun Baharu Cina.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar) berkata pihaknya meminta Jais menyiasat secara teliti dan berharap ia dapat diselesaikan dalam masa terdekat.

"Kita sudahpun menulis surat kepada Kementerian Dalam Negeri mengenai isu ini dan mereka secara lisan bagi tahu walaupun bersetuju dengan cara-cara benarkan Bible versi bahasa Melayu dilakukan, tetapi itu tertakluk kepada negeri.

"Saya masih menunggu jawapan secara bertulis (dari Kementerian Dalam Negeri) berhubung perkara ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2014 peringkat negeri Selangor di Shah Alam hari ini.

Abdul Khalid juga meminta penjelasan dari pihak berkuasa terlibat mengenai kemasukan bible versi bahasa Melayu yang dirampas Jais menerusi Pelabuhan Klang.

"Saya diberitahu bible ini diimport. Jadi kalau masuk ke Pelabuhan Klang, sudah tentu kerajaan negeri tak ada kuasa jagaan, itu saya hendak cuba tanya," katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Khalid menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan beliau semakin tertekan berikutan isu pengguguran Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali sebagai anggota lembaga pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor. - Bernama

Tiada ulasan: