Selasa, 21 Januari 2014

Rafizi ke Hong Kong selepas Tahun Baru Cina siasat akaun AG

Fiza Halim
RAFIZI_PC_HQ

KUALA LUMPUR : Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli akan ke Hong Kong selepas perayaan Tahun Baru Cina bagi menyiasat akaun peguam negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Menurutnya, beliau akan tetap ke negara itu walaupun belum menerima surat kebenaran daripada Gani yang dihantarnya pada 19 Disember tahun lalu.

“Saya akan ke sana selepas perayaan tahun baru cina memandangkan sekarang penduduk Hong Kong sibuk membuat persiapan tahun baru cina. Saya akan cari masa yang sesuai ke Hong Kong,” kata Rafizi kepada Keadilandaily.

Katanya, sebelum berlepas ke Hong Kong, beliau perlu membuat temujanji terlebih dulu dengan beberapa jabatan dan individu yang berkaitan.

gani_patailPada 17 Disember lepas, Rafizi menerima pelawaan Gani yang memberi kebenaran kepada beliau untuk memeriksa akaun banknya di mana-mana negara, termasuk Hong Kong.

Isu ini timbul setelah dakwaan peguam kanan Umno, Tan Sri Shafee Abdullah yang mengaitkan Gani Patail dengan kes sogokan wang dalam isu pertindihan Pulau Batu Puteh.

Pengakuan itu seperti terkandung dalam akuan bersumpah bekas pegawai polis, Datuk Mat Zain Ibrahim.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, setakat ini tiada tindakan oleh Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyiasat dakwaan salahguna kuasa dilakukan Gani dalam kes berkenaan.

“Tidak ada tindakan yang dimaklumkan oleh pihak SPRM dan Polis kepada kita. Tiada kes disiasat dan isu ini diam begitu sahaja,” ujar Ahli Parlimen Pandan itu lagi.

Menurutnya lagi, tindakan beliau ke Hong Kong bukan gimik semata-mata dan salah laku Gani adalah berasaskan kepada kenyataan banyak pihak termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kita hanya memberi tindak balas bahawa peguam negara dikaitkan dengan kes sogokan wang dalam isu pertindihan Pulau Batu Putih,” ujarnya.

Tiada ulasan: