HARAKAHDAILY
KOTA KINABALU: Seorang komando VAT69 memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini posisi beliau dan rakannya ketika melaksanakan operasi tinjau rapat di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada 1 Mac tahun lepas disedari beberapa individu kumpulan penceroboh bersenjata.
Koperal Azman Ampong, 38, berkata beliau dan rakannya Koperal Mohd Tarmizi Hashim melihat lima atau enam orang, yang antara mereka memegang senjata api dan ada yang membawa senjata tajam seperti parang di pinggang.
"Apabila kumpulan itu menyedari kehadiran kami, seorang daripada mereka menunjuk ke arah kami dan kemudian memanggil kawan-kawannya untuk memerhati ke arah kami.
"Pada masa sama, kelihatan ada antara satu atau dua orang seolah-olah melambaikan tangan ke arah belakang mereka yang saya faham seolah-olah memanggil kumpulan yang lain.
"Kemudian, kelihatan lebih ramai datang ke arah mereka, lebih kurang 20-40 orang," katanya ketika memberi keterangan pada perbicaraan 30 tertuduh yang menghadapi pelbagai kesalahan berkaitan kegiatan keganasan di Sabah, yang bersidang di Jabatan Penjara Sabah di sini.
Azman berkata seorang lelaki dilihat menghulurkan sebatang kayu kepada seorang lagi lelaki, dipercayai ketua kumpulan itu, untuk dijadikan tongkat yang mempunyai sekeping kertas putih bersaiz A4 di atasnya.
"Ketua kumpulan itu bergerak ke arah kami. Apabila dalam jarak 30-60 kaki di hadapan kami, saya melihat dua orang mengekorinya dengan membawa senjata api.
"Kemudian, ketua kumpulan itu terus bercakap ke arah saya dalam bahasa Suluk 'Ayau kamu rindi, muit kamu' sebanyak tiga kali dan menunjukkan gaya menghalau dengan tangannya," katanya.
Azman, yang dilahirkan di Pulau Bum-Bum, Semporna, berkata beliau memahami apa yang diperkatakan lelaki itu, walaupun tidak fasih bahasa Suluk.
Kemudian ayat itu dialih bahasa oleh penterjermah bahasa Suluk mahkamah yang memberi makna (lelaki itu berkata): "Jangan berada di sini. Balik kamu".
Azman berkata beliau dan Mohd Tarmizi hanya mendiamkan diri selepas lelaki itu berkata demikian.
"Mungkin mereka sedar kami tidak buat apa-apa atau tidak faham apa yang dituturkan. Dia terus melaungkan 'Allahu Akbar' sebanyak dua kali dan tiba-tiba, dua lelaki di belakangnya melepaskan tembakan ke arah kami," katanya.
Menurutnya, beliau dan rakannya tidak membalas tembakan, tetapi beliau terasa sejuk di paha kanannya dua minit selepas penceroboh melepaskan tembakan.
"Rupanya saya terkena tembakan, di tempat terkena tembakan itu saya terasa sejuk sangat," katanya.
Azman berkata selain paha kanan, beliau juga ditembak di pinggang bahagian belakang.
Azman juga berkata Mohd Tarmizi turut terkena tembakan di betis kiri dan lengan kiri.
Ketika ditanya oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail: "Apa yang kamu cakap dengan Mohd Tarmizi selepas menyedari kamu terkena tembakan?" Azman berkata beliau tanya rakannya jika mampu lepaskan tembakan.
"Apabila dia (Mohd Tarmizi) jawab 'ya' saya terus cakap 'tunggu apa lagi, 'buddy' (kawan), tembaklah' dan terus kami lancarkan tembakan," katanya.
Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung bersambung petang ini. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan