Beberapa bekas sukarelawan di rumah penjagaan orang tua itu mendakwa presiden rumah kebajikan tersebut menggunakan buruh kanak-kanak dan menganiayai penghuni rumah tidak berdaftar berkenaan.
"Kanak-kanak di rumah itu diminta membungkus minuman untuk sebuah syarikat minuman terkenal, membuat wayar dan menjahit butang baju Melayu," kata bekas sukarelawan yang membuat aduan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) pada 2001.
Rumah tersebut yang juga menempatkan kanak-kanak terencat akal dan warga emas, didakwa membawa masuk kanak-kanak dari keluarga miskin dan menjanjikan mereka pendidikan dan pekerjaan.
Pengendali rumah tersebut turut dilaporkan membiarkan 28 kanak-kanak kelaparan.
Kini, polis sedang memburu individu di sebalik rumah penjagaan orang tuan itu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh menyifatkan tindakan meninggalkan lima warga emas itu dalam keadaan persekitaran yang kotor merupakan jenayah kejam.
"Kami akan membantu mengesan pengendali rumah tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan muka depan akhbar The Star mengenai lima warga emas hidup sengsara selepas ditinggalkan dalam sebuah rumah yang kotor dan tiada bekalan air.
Kelima-lima mangsa ditemui dalam keadaan lemah dan kurus kering apabila diselamatkan oleh jiran-jiran di kawasan perumahan itu pada Ahad.
Tinjauan The Star menemui sekeping kad nama, dipercayai milik pengendali rumah tersebut, tercicir di rumah itu.
Terdapat juga surat tuntutan daripada pemilik rumah dan laporan polis bertarikh Julai tahun lalu terhadap Daniel Paul kerana gagal membayar tunggakan sewa rumah dan bil utiliti.
Pemilik rumah tersebut meminta pengendali rumah penjagaan orang tua tersebut untuk membayar tunggakan sewa rumah sebanyak RM2,800, RM2,910 bagi bil air dan RM342 untuk bil elektrik selain meminta mereka mengosongkan rumah terbabit pada 5 Julai tahun lalu.
Usaha untuk mendapatkan komen pemilik rumah itu gagal kerana tidak dapat dihubungi.
Sementara itu, Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat, Datuk Noraini Mohd Hashim berkata, rumah penjagaan orang tua terbiar itu tidak berdaftar dengan jabatan tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan