Isnin, 13 Januari 2014

Perkasa Mahu Kerajaan Kaji Semula Pemansuhan ISA

Rakyat News

Alif Mustapha


KUALA LUMPUR - Perkasa mencadangkan kerajaan supaya membuat kajian semula mengenai pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) berdasarkan kepada pendirian rakyat atau suara majoriti.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali berkata segelintir rakyat sudah tidak mempedulikan lagi isu-isu sensitif sekaligus menyukarkan pihak berkuasa untuk bertindak akibat daripada pemansuhan ISA.

"Paling baik adalah kerajaan mengadakan kajisemula, ambil kira suara majoriti," katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Perkasa yang pertama bagi penggal 2013 - 2016.

Hadir sama Timbalan Presiden Datuk Abdul Rahman Abu Bakar, Naib Presiden Syed Osman Syed Mansor dan Bani Yusop Abdullah serta Ketua Wiranita Datin Paduka Norkhaila Jamaluddin.
 
Rakyat News
 
Jelas Ibrahim, ISA disifatkan masih lagi relevan bagi menjamin keselamatan negara, tambahan negara-negara lain termasuk Singapura masih lagi mengekalkan undang-undang seperti ISA.

Sehubungan itu adalah wajar kerajaan kajisemula akta tersebut bagi memelihara keselamatan negara yang dilihat kian rapuh bahkan dapat menyelamatkan amalan demokrasi.

"Demokrasi dapat berjalan dengan baik dalam negara yang aman.

"Adakan pengundian (kajisemula ISA) seperti pilihanraya, boleh diurus oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), atau lantik mana-mana badan untuk mengendalikan pengundian," tegas beliau yang sebelum ini pernah ditahan dibawah ISA sebanyak dua kali dan antara Ahli Parlimen yang lantang menentang permansuhan ISA.

Selain memberi fokus kepada isu berkaitan ISA, Perkasa yang baru sahaja selesai mengadakan Mesyuarat Agung kali ke-4 pada 22 Disember lalu turut mengesahkan perlantikan biro dan ADT mereka yang baru.

Tiada ulasan: