Khamis, 23 Januari 2014

Pengusaha salun kena 60 jahitan dikelar peragut

HARAKAHDAILY 


BUTTERWORTH: Seorang pengusaha salun menerima lebih 60 jahitan di lengan kanan, jari tangan kiri dan perut akibat dikelar seorang lelaki yang cuba meragutnya.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 9 malam pada 11 Jan lalu ketika Ang Chin Tin, 56, mahu ke pusat membeli-belah Sunway Carnival di sini untuk membuat cermin mata.

Beliau berkata beliau mahu mengalih keretanya agar lebih dekat dengan pusat membeli-belah berkenaan.

"Ketika masuk ke dalam kereta dan menghidupkan enjin, tiba-tiba seorang lelaki datang dari arah belakang dan menyembur sesuatu pada muka saya sambil mengarahkan saya menyerahkan barang berharga," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau menerima kunjungan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, SAC Mazan Kesah di rumahnya di Taman Arowana di sini sempena Program High Profile Policing.

Ang berkata beliau yang takut telah menjerit dengan kuat dan membuatkan lelaki berkenaan panik dan bertindak mengelarnya beberapa kali pada lengan, jari dan perutnya.

"Lelaki itu tidak sempat mengambil apa-apa dari saya mungkin kerana panik mendengar saya menjerit dan melarikan diri selepas mencederakan saya," katanya.

Beliau berkata beliau yang berlumuran darah cuba memandu keretanya ke hospital dan dalam perjalanan itu turut merempuh sekatan jalan raya sebelum tidak sedarkan diri.

"Saya telah kehilangan banyak darah sehingga menyebabkan saya tidak sedar. Saya hanya sedar ketika menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya dan dimaklumkan oleh pihak polis yang saya telah merempuh sekatan jalan raya sebelum saya dibantu," katanya.

Mazlan berkata pihaknya mendapat beberapa petunjuk baharu berhubung kejadian berkenaan dan usaha memburu suspek sedang giat dijalankan.

"Polis juga minta bantuan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar tampil membantu bagi mempercepatkan siasatan kes berkenaan," katanya. - Bernama

Tiada ulasan: