Selasa, 14 Januari 2014

NSTP diperintah bayar ganti rugi RM200,000 kepada Kayveas

MALAYSIA CHRONICLE


Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan The New Straits Times Press (M) Sdn Bhd (NSTP) membayar ganti rugi RM200,000 kepada presiden Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP) Datuk M. Kayveas (gambar) dalam kes saman fitnah berhubung dakwaan berlaku penyelewengan dalam laporan kewangan parti itu.

Hakim Siti Khadijah S. Hassan Badjenid juga memerintahkan NSTP membayar kos sebanyak RM5,000 kepada Kayveas.

Dalam keputusannya Siti Khadijah berkata berdasarkan keterangan saksi dalam kes itu mahkamah mendapati Kayveas telah berjaya membuktikan kesnya terhadap NSTP.

Pada 2009, Kayveas memfailkan saman terhadap bekas anggota majlis tertinggi parti itu, N. A.
Shanmuganathan dan NSTP dan menamakan mereka sebagai defendan pertama dan kedua.

Bagaimanapun Kayveas berjaya memperoleh penghakiman terhadap Shanmuganathan.

Dalam pernyataan tuntutannya, Kayveas mendakwa wartawan NSTP telah menghadiri satu persidangan akhbar pada 22 Jun, 2009 oleh Shanmuganathan di Putrajaya dan NSTP telah mencetak dan menerbitkan artikel yang memfitnahnya dalam akhbar New Straits Times pada keesokannya.

Beliau berkata akibat penerbitan artikel itu, beliau terpaksa menanggung malu dan kesedihan dan reputasi dan nama baiknya sebagai individu dan presiden PPP telah terjejas.

NSTP dalam pernyataan pembelaannya berkata artikel itu disiarkan atas kapasiti perlindungan bersyarat kerana ia mempunyai tanggungjawab untuk menerbitkan artikel itu untuk pengetahuan orang awam. – Bernama

Tiada ulasan: