Noh Omar  
Noh Omar


SABAK BERNAM – Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar menyatakan kesediaan beliau berdebat isu kalimah ALLAH dari sudut perundangan dengan mana-mana pemimpin Pakatan Rakyat (PR).

Noh berkata, beliau sedia berdebat demi memelihara kesucian kalimah suci itu daripada terus digunakan oleh penganut agama lain kerana ia jelas menimbulkan sentimen kemarahan dalam kalangan umat Islam.

Katanya, debat yang dicadangkannya itu nanti perlu dianjurkan badan bebas seperti dikendalikan Sinar Harian dalam siri wacana yang dianjurkan akhbar itu sebelum ini.

“Saya sanggup, saya boleh (berdebat), tetapi dari segi perundangan, akidah dan agama.

“Suruh Sinar (Harian) buat (anjurkan) wacana dan saya sedia untuk berdebat dengan pemimpin pembangkang dalam isu kalimah ALLAH ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Sambutan Maulidur Rasul anjuran Umno Bahagian Sungai Besar, di Sekin Hotel Sekinchan, di sini, malam kelmarin.