Rabu, 15 Januari 2014

Mohon sijil halal kini atas talian

MALAYSIAKINI




 Permohonan untuk mendapatkan sijil halal kini dipermudahkan lagi dengan penggunaan sistem dalam talian, Enjin Pengesahan Halal (HVE), yang sekaligus mempercepat proses permohonan, demikian menurut DagangHalal Berhad (DagangHalal).

Pangkalan data HVE, yang menggunakan pengkomputeran awan, bertindak sebagai pusat penyimpanan senarai produk, perkhidmatan dan badan pensijilan halal yang telah diakui halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Ketua Eksekutif Kumpulan Mohamed Hazli Mohamed Hussain berkata HVE mengandungi lebih 100,000 produk and perkhidmatan dalam sektor makanan dan minuman (F&B), rumah penyembelihan, logistik, farmaseutikal, kosmetik dan ramuan.

Sebagai contoh, senarai ramuan yang diimport telah pun mendapat kelulusan oleh badan pensijilan halal di negara tersebut yang berdaftar dengan Jakim, katanya kepada Bernama.

"Melalui kaedah baharu ini, pemohon hanya perlu memuat turun sijil halal daripada HVE tanpa menghubungi pengilang-pengilang ramuan tersebut. Ini bukan sahaja memudahkan pemohon malah membantu pihak Jakim dalam memastikan ketulenan sijil tersebut," katanya.

Sementara itu, DagangHalal menyasarkan jumlah syarikat yang berdaftar untuk menggunakan HVE meningkat sebanyak 10,000 syarikat dalam tempoh dua tahun akan datang berbanding hanya 260 syarikat setakat ini, kata Mohamed Hazli.

Dilancarkan pada 11 Dis lepas, HVE kini diakses oleh syarikat-syarikat dari pelbagai sektor termasuk hotel, premis makanan segera dan badan pensijilan halal luar negara.

DagangHalal telah membelanjakan hampir RM3.5 juta bagi membangunkan pangkalan data tersebut.

Terdapat 73 badan halal di seluruh dunia yang diiktiraf oleh Jakim, melibatkan 57 badan halal bukan kerajaan (NGO) manakala selebihnya badan halal agensi kerajaan.

Daripada jumlah itu, 26 badan pensijilan halal dari luar negara telah bersetuju untuk memberikan senarai bahan yang telah diakui sah oleh mereka kepada HVE bagi memudahkan lagi pemohon sijil halal untuk mendapatkan sijil halal bagi ramuan yang digunakan.

Berikutan persetujuan itu, 26 badan halal tersebut boleh memuat naik sijil halal dan maklumat mengenai ramuan yang telah mereka sahkan ke dalam enjin carian tersebut secara satu persatu ataupun secara pukal.

Bagi mengakses HVE ini, pengguna perlu mendaftar di laman web, http://www.halalverified.com/User/Register.

Mengenai sumbangan HVE kepada industri Halal negara, Mohamed Hazli berkata proses pensijilan halal dapat dipermudahkan dan membantu produk halal tempatan mudah dieksport keluar negara.

Beliau berkata proses penyemakan ketulenan sijil halal adalah punca utama proses pensijilan mengambil masa yang lama, terutamanya apabila pemohon cuba menukar nama produk, jenis produk dan tarikh sah laku yang telah tamat.

Dengan wujudnya HVE ini, masalah tersebut dapat dielakkan kerana ia mempunyai ciri-ciri keselamatan seperti 'Quick Response Code' (QR Code) untuk mengelakkan sebarang pemalsuan sijil halal terutamanya dari agensi pensijilan antarabangsa, katanya.

Selain itu, kemudahan ini dapat memastikan sijil Halal yang dimuat turun jelas serta boleh difahami oleh Jakim, berbeza dengan sijil halal yang diperoleh sendiri yang sesetengahnya mungkin rosak akibat dihantar melalui kiriman pos, faksimili dan mungkin tercicir dalam proses penghantaran.

HVE turut memastikan sijil halal yang hampir tamat tempoh pula hanya boleh dilihat dan tidak boleh dimuat turun bagi menyekat usaha memalsukan sijil tersebut, tambahnya lagi. - Bernama

Tiada ulasan: