Jumaat, 24 Januari 2014

Mesej palsu 'macai kangkung' sesakkan pejabat MP Shah Alam


Khalid menjelaskan mesej palsu skim perumahan Selangor kepada pasangan dari Bandar Kinrara, Puchong yang berkunjung ke pejabatnya semalam.

SAIDAH HAIRAN 


SHAH ALAM: Mesej palsu berhubung skim pembiayaan perumahan rakyat Selangor yang beredar di media sosial dan khidmat pesanan ringkas (SMS) sejak beberapa minggu lalu menyebabkan pejabat Ahli Parlimen Shah Alam dikunjungi ramai penduduk yang mahu mendapatkan 'borang permohonan'.

Sehubungan itu Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd Samad mengutuk perbuatan tidak bertanggung jawab itu kerana ia menyusahkan rakyat.

Menurut beliau, sejak Isnin hingga petang Khamis semalam, lebih 2000 orang membuat panggilan telefon ke pejabat beliau termasuk panggilan daripada Johor dan Melaka manakala premis  pejabat beliau dikunjungi lebih 20 orang sehari bagi memohon 'skim' tersebut.

Malah masih terdapat orang ramai yang datang untuk mendapatkan borang permohonan semasa sidang media di pejabat beliau berlangsung.

Mereka yang sempat ditemui Harakah bukan sahaja datang dari sekitar bandaraya Shah Alam malah dari Bandar Kinrara, Puchong dan Cheras.

Bagi Khalid, mesej palsu yang tersebar itu dilakukan pihak tertentu bertujuan memburuk-burukkan Kerajaan Pakatan Rakyat.

Tujuan utamanya, tambah beliau adalah untuk mewujudkan persepsi bahawa kerajaan negeri hanya pandai membuat janji tetapi tidak tahu menunaikannya.

"Dalam SMS itu ditulis `sebarkan' jadi saya harap orang semakin kenal dengan penipuan yang dilakukan.  Saya ucapkan terima kasih kepada 'macai kangkung' kerana dapat memberi peluang kepada orang ramai untuk mengenali Ahli Parlimen Shah Alam," katanya.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat mengingatkan rakyat Selangor supaya berhati-hati dengan sebaran maklumat palsu kerana program perumahan sebesar itu perlu terlebih dahulu dilancarkan kerajaan negeri dan bukan dengan cara menghantar SMS atau Whatsupp.

"Biar kita tapis maklumat dulu supaya jangan dimainkan oleh 'macai kangkung',"  tegasnya.

Bagaimanapun beliau menyedari bahawa keterujaan orang ramai untuk membuat panggilan mahupun berkunjung ke pejabat beliau bagi mendapatkan borang permohonan menunjukkan bahawa masalah perumahan di Selangor amat serius.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan pusat dan kerajaan negeri supaya memberi lebih tumpuan kepada isu ini.

Beliau juga mencadangkan polisi satu rakyat, satu rumah diperkenalkan bagi memberi peluang kepada lebih ramai rakyat memiliki rumah sekaligus membendung spekulasi.

Khalid juga menyedari bahawa cadangan ini sukar dilaksanakan ekoran kekhuatiran pelbagai pihak tentang unit-unit rumah yang tidak laku dijual.

Kerajaan juga, tegas beliau perlu mengkaji dasar membenarkan warga asing membeli rumah ketika permintaan warga tempatan gagal dipenuhi.

"Saya juga alu-alukan perancangan rumah mampu milik kerajaan Selangor tetapi kita perlu dasar yang lebih tegas," katanya.

Tiada ulasan: