Isnin, 6 Januari 2014

Mercedes: SPRM sambut baik pendirian Guan Eng

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengulangi tidak pernah mengeluarkan kenyataan bahawa SPRM sedang menyiasat isu pembelian Mercedes-Benz S300L oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Justeru, SPRM dalam satu kenyataan hari ini menafikan ada menjalankan sebarang siasatan buat masa sekarang.

Sementara SPRM menyambut baik pendirian Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang mengalu-alukan sebarang siasatan isu pembelian Mercedes-Benz S300L oleh kerajaan negeri itu, SPRM juga ingin membetulkan kenyataan yang beliau keluarkan semalam.

“Dakwaan bahawa tiada tindakan yang diambil oleh SPRM dalam isu dakwaan pembaziran wang rakyat yang melibatkan kerajaan BN, sebagaimana dibentangkan oleh Laporan Ketua Audit Negara 2012, SPRM menegaskan kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang itu tidak benar dan tidak berasas sama sekali,” tambah kenyataan itu.

Sambil SPRM mengalu-alukan apa jua pandangan konstruktif, SPRM juga berharap Lim Guan Eng meneliti Laporan Tahunan-Laporan Tahunan SPRM dan juga Laporan Tahunan-Laporan Tahunan Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) dikeluarkan sebelum ini, yang turut diedarkan kepada Ahli-Ahli Parlimen.

Menurut kenyataan itu, kKedua-dua dokumen ini turut memperincikan tindakan yang telah diambil oleh SPRM ke atas isu-isu berkaitan dengan Laporan Ketua Audit Negara.

Kenyataan-kenyataan SPRM, laporan tahunan SPRM dan laporan tahunan JKMR, yang dianggotai Ahli-Ahli Parlimen sendiri, menunjukkan SPRM telah mengambil tindakan wajar secara bebas, telus dan profesional ke atas perkara-perkara yang dibangkitkan oleh Laporan Ketua Audit Negara, termasuk yang terbaru dikeluarkan awal Oktober 2013.

Sekurang-kurangnya 15 perkara yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012 telah pun dibuka kertas siasatan dan sedang disiasat.

Tambah kenyataan itu, tindakan-tindakan yang diambil, sama ada tuduhan di mahkamah atau khidmat nasihat, dimaklumkan kepada JKMR dan Panel Penilaian Operasi (PPO) dari semasa ke semasa.

JKMR, salah sebuah badan bebas yang memantau perjalanan SPRM sejak 2009, turut dianggotai oleh wakil DAP iaitu Dr Tan Seng Giaw.

“Sekiranya memerlukan maklumat lanjut mengenai status kes dan tindakan diambil SPRM, YB Lim Guan Eng juga boleh merujuk kepada JKMR menerusi wakil DAP yang menganggotainya,” kata kenyataan itu lagi.

Justeru, kenyatan itu ingin menegaskan SPRM menjalankan siasatan secara bebas, telus dan profesional mengikut Akta SPRM 2009 dan tidak bertanggungjawab kepada laporan-laporan media yang memetik sumber dan tidak berasas.

Tiada ulasan: