KOTA KINABALU - Bilangan mangsa banjir di dua pusat pemindahan banjir di Beaufort, 97 kilometer dari sini, meningkat kepada 228 orang berbanding cuma 10 orang semalam.
Pegawai Daerah Beaufort Mohd Sahid Othman ketika dihubungi Bernama berkata sebanyak 208 orang dari Kampung Lago dan Kampung Suasa ditempatkan di pusat pemindahan banjir di Kampung Suasa manakala 20 orang lagi di pusat pemindahan banjir di Dewan Pa Musa.
"Proses memindahkan 218 mangsa banjir ke kedua-dua pusat pemindahan berkenaan bermula kira-kira jam 3 petang semalam. Keadaan mereka di pusat-pusat pemindahan itu baik di bawah seliaan agensi kerajaan berkaitan," katanya.
Mohd Sahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah berkata paras Sungai Padas pada pagi ini meningkat kepada 9.06 meter melebihi paras bahaya, 8.70 meter.
Katanya pihaknya menjangkakan ada lagi pemindahan petang ini sekiranya hujan yang turun sejak pagi semalam berterusan.
Selain menggunakan pengangkutan darat untuk membuat pemantauan, pihaknya turut menggunakan bot, memandangkan sudah banyak jalan raya ke kampung-kampung ditenggelami air. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan